Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Melontar Jamrah Didik Jemaah Tundukkan Ego, Utamakan Kepentingan Orang Lain

27/05/2026 01:48 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 27 Mei (Bernama) -- Ibadah melontar jamrah bukan sekadar melengkapkan satu daripada syarat wajib haji, malah menjadi medan pendidikan yang mengajar jemaah menundukkan ego dan mengutamakan kepentingan orang lain ketika jutaan manusia berhimpun di satu tempat.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata antara hikmah terbesar di sebalik ibadah itu ialah membentuk sifat sabar, bertolak ansur dan menghormati hak orang lain ketika melaksanakan ibadah.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata asas melontar jamrah adalah kepatuhan kepada perintah Allah SWT, bukan kerana jemaah melihat syaitan secara fizikal, sebaliknya sebagai simbol ketaatan dan pengabdian kepada-Nya.

"Apabila berada di kawasan jamrah, kita tidak boleh berebut atau mementingkan diri sendiri. Kita perlu memberi laluan kepada orang lain dan melaksanakan ibadah dengan tenang.

"Di situlah ego (kita) diuji. Kita belajar bahawa dalam keadaan sesak sekalipun, kepentingan bersama perlu didahulukan berbanding kehendak diri sendiri," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Ahmad Fauwaz berkata kelancaran jutaan umat Islam melaksanakan ibadah melontar jamrah setiap tahun turut membuktikan bahawa nilai kerjasama dan toleransi mampu diterjemahkan dalam keadaan yang mencabar.

Katanya, semangat saling membantu dan bertimbang rasa ketika melaksanakan ibadah itu mencerminkan kekuatan ummah yang dibina atas asas kasih sayang dan perpaduan.

"Kalau dalam perkara yang kelihatan mudah seperti melontar batu kecil pun kita mampu bekerjasama, apatah lagi untuk melaksanakan agenda yang lebih besar bagi kepentingan umat Islam," katanya.

Beliau berkata semangat menundukkan ego dan mendahulukan orang lain itu tidak seharusnya terhenti di Tanah Suci, sebaliknya perlu dibawa pulang dan diterapkan dalam kehidupan selepas selesai musim haji.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan