Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
KOTA BHARU, 24 Mei (Bernama) -- Dalam dunia kewartawanan yang menuntut kecepatan, ketepatan dan kesiapsiagaan tanpa mengira waktu, pengamal media kini berdepan tekanan kerja semakin mencabar sehingga profesion itu disenaraikan antara kerjaya paling berisiko terhadap masalah kesihatan mental.
Menyedari hakikat itu, Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) menyarankan kerajaan mewujudkan modul pengurusan tekanan kesihatan mental secara berkala dan bersasar bagi membantu wartawan menghadapi cabaran kerjaya yang semakin kompleks, terutama dalam era digital dan ledakan maklumat tanpa sempadan.
Presidennya Muhammad Yatimin Abdullah berkata langkah intervensi itu penting bagi memastikan aspek perlindungan sosial golongan wartawan terus terpelihara memandangkan mereka berdepan risiko tinggi mengalami tekanan mental akibat tuntutan kerja di lapangan.
Beliau berkata inisiatif itu boleh direalisasikan menerusi kerjasama strategik dengan universiti awam tempatan bagi membangunkan modul psikologi yang bersesuaian mengikut keperluan pengamal media di setiap negeri.
“Kerajaan boleh mewujudkan program pengurusan tekanan ini secara berkala kerana persekitaran kerja dan tahap tekanan yang dihadapi pengamal media di setiap negeri adalah berbeza-beza.
“Pelaksanaan mengikut lokaliti dengan kerjasama universiti tempatan akan memastikan program ini lebih berkesan dan menepati keperluan sebenar mereka di lapangan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran serta aspek perlindungan sosial wartawan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Yatimin berkata cabaran yang dihadapi pengamal media arus perdana pada masa kini jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu khususnya dalam era pendigitalan dan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata tugas wartawan hari ini bukan sekadar mencari dan melaporkan berita, sebaliknya turut berperanan menapis serta membetulkan lambakan maklumat palsu yang tersebar di ruang maya.
“Pengamal media arus perdana perlu mempunyai ketahanan mental yang sangat kuat untuk berdepan dunia tanpa sempadan ini.
“Kita perlu sentiasa bersedia membantu kerajaan menangkis berita palsu yang membanjiri ruang maya kerana jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan kegentaran awam. Inilah antara cabaran terbesar yang menyumbang kepada tekanan kerja pengamal media ketika ini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap cadangan mewujudkan program pengurusan tekanan berkenaan dapat dipertimbangkan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan holistik wartawan sebagai barisan hadapan penyampai maklumat negara terus dipelihara.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan meminta Gabungan Kelab Media Malaysia mengemukakan usul khusus bagi memperkukuh kebajikan bekas pengamal media, termasuk mewujudkan mekanisme lebih tersusun untuk membantu golongan veteran industri itu.
Beliau berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan sebelum sambutan HAWANA bagi membolehkan satu rangka kerja lebih sistematik diwujudkan untuk menjaga kebajikan bekas pekerja sektor media.
Membawa tema “Media Berintegriti Teras Kredibiliti, HAWANA 2026 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Pusat Konvensyen PICCA, Pulau Pinang pada 20 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial