TAWAU, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), MYAirportCARES menerusi penglibatan dalam program Sekolah Angkat MADANI pada tahun ini.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata inisiatif itu dijalankan menerusi dua program utama, iaitu Ceria Kembali Ke Sekolah serta Lawatan Pendidikan Ke Lapangan Terbang.
“Tahun ini, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sekolah Angkat MADANI bagi melaksanakan dua inisiatif CSR itu, pendekatan ini membolehkan bantuan dan pendedahan pendidikan disalurkan dengan lebih tersusun kepada komuniti yang paling memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Izani berkata MYAirportCARES adalah cara MAHB menyumbang kepada masa hadapan generasi muda komuniti di sekitar lapangan terbang bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, dengan bantuan asas sekolah sehingga pendedahan kepada dunia pengendalian lapangan terbang.
Sementara itu, beliau berkata Program Ceria Kembali ke Sekolah yang bermula sejak 2018 memberi manfaat kepada lebih 4,500 murid di seluruh negara, manakala lebih 5,500 pelajar menerima manfaat daripada Program Lawatan Pendidikan ke Lapangan Terbang sejak 2023.
“Program Lawatan Pendidikan ke Lapangan Terbang memberi peluang kepada pelajar sekolah melawat lapangan terbang, memahami operasi harian serta potensi kerjaya dalam sektor pengendalian lapangan terbang.
“Pada 3 Dis lepas sebanyak 30 murid dan 16 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Nibong, Marudi, Sarawak menyertai lawatan pendidikan ke Lapangan Terbang Miri yang merangkumi sesi bersama pasukan bomba, keselamatan penerbangan dan operasi terminal termasuk lawatan fasiliti,” katanya.
Mohd Izani berkata pada 9 Dis, Program Ceria Kembali Ke Sekolah dijalankan di Sekolah Angkat MADANI SK Kuala Apas di sini yang menyaksikan 150 pelajar dibawa untuk membeli kelengkapan sekolah sebagai persiapan awal persekolahan sesi 2026.
“Setiap murid daripada golongan berpendapatan rendah menerima bantuan RM400 untuk membeli kelengkapan termasuk baju sekolah, seluar sukan, kasut dan beg sekolah, selain itu 410 pelajar menerima bantuan pembelian buku dan pakaian sukan,” katanya.
Bagi murid tahun enam SK Kuala Apas Munira Muriyadi berkata bantuan membeli kelengkapan sekolah daripada MAHB itu dapat meringankan beban ibunya menanggung kos persiapan persekolahan.
“Ibu berusaha keras cari wang untuk keperluan makanan dan persekolahan keluarga. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada MAHB sebab sudi bantu untuk beli barangan sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Guru Bahasa Melayu yang juga Penyelaras Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) SK Kuala Apas Suhaimi Taif berkata 150 murid yang terpilih untuk program MYAirportCARES itu daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah termasuk nelayan dan petani.
“Sekolah kami terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI di bawah MYAirportCARES dan ini merupakan program pertama bantuan murid dilibatkan dalam skala besar, jutaan terima kasih kepada MAHB dan harapan kami agar program ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata kriteria pemilihan murid yang menerima bantuan itu antaranya keluarga pelajar yang tidak memiliki pendapatan tetap, bekerja sendiri atau nelayan termasuk berdasarkan kehidupan murid yang serba kekurangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial