Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Industri Pelancongan Terima Peruntukan RM323 Juta Daripada Belanjawan Sarawak 2026

02/12/2025 01:29 PM

KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM323 juta di bawah Belanjawan Negeri 2026 memandangkan industri itu terus merekodkan prestasi kukuh dengan RM10.22 bilion hasil pelancongan antara Januari hingga Oktober tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata daripada jumlah itu, RM129 juta akan digunakan bagi perbelanjaan pembangunan, manakala RM194 juta untuk perbelanjaan mengurus.

"Belanjawan ini penting bagi kementerian untuk meneruskan pembangunan infrastruktur berkaitan, mengukuhkan pemasaran pelancongan dan menganjurkan acara bagi memastikan kemajuan industri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan pada 2026," katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata prestasi sektor itu yang memberangsangkan tahun ini mencerminkan pemulihan pelancongan yang berdaya tahan dengan merekodkan ketibaan 4.01 juta pelancong dalam tempoh 10 bulan pertama walaupun berdepan dengan cabaran geopolitik global.

"Pelancongan terus merangsang ekonomi Sarawak. Peningkatan ketibaan pelawat telah diterjemahkan kepada limpahan manfaat kepada komuniti tempatan, perkhidmatan hospitaliti dan sektor berkaitan," katanya.

Abdul Karim berkata ASEAN kekal sebagai pasaran terkuat negeri itu, dengan Brunei Darussalam mencatat lebih 1.3 juta ketibaan dan Indonesia merekodkan kedatangan 583,568 pengunjung.

Selain itu, penyumbang utama yang lain ialah China dengan 58,822 pelawat, Singapura (52,406 orang) dan Filipina (39,284 orang).

Pelancongan domestik terus relevan dengan 1,769,561 pelawat dari negeri lain, mewakili 44.1 peratus daripada keseluruhan pelawat," katanya.

Beliau berkata Sarawak dijangka terus mengalami pertumbuhan dalam ketibaan pelawat pada tahun-tahun akan datang, susulan pemasaran berterusan, kepelbagaian produk pelancongan, peningkatan kesalinghubungan udara dan promosi digital yang lebih kukuh.

"Sebahagian besar pelancong dunia pada masa hadapan mungkin dari negara dalam rantau Asia Pasifik yang akan menjana purata 17 juta ketibaan antarabangsa tambahan setiap tahun, dengan China, Korea dan Jepun menjadi pemacu utama permintaan pelancongan luar ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan