Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Selangor Peruntuk RM54.34 Juta Perkukuh Projek Tebatan Banjir

14/11/2025 07:53 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Selangor memperuntukkan RM54.34 juta dalam usaha memperkukuh projek tebatan banjir membabitkan penambahan 17 projek baharu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata antara lembangan sungai terlibat ialah Lembangan Sungai Klang dengan peruntukan RM16.92 juta, Lembangan Sungai Langat (RM16.51 juta), Lembangan Sungai Selangor (RM5.74 juta), Lembangan Sungai Buloh (RM1 juta) serta Lembangan Sungai Bernam dan Kapar Besar RM2.8 juta. 

“Penekanan utama diberikan kepada Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Langat yang kini berhadapan dengan kadar pembangunan pesat sehingga mencetuskan peningkatan aliran air permukaan. Keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat mahupun banjir monsun yang kerap dan serius.

“Pelaksanaan projek-projek tebatan banjir ini akan diperkukuh melalui kesepaduan dan kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan, agar penyelesaian yang dirangka benar-benar holistik, lestari dan berimpak tinggi dalam mengawal serta mengurangkan risiko bencana banjir di Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM11.51 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor selain penambahan 10 projek baharu untuk melaksanakan perkhidmatan kepakaran teknikal yang mampu memastikan setiap lembangan sungai diurus dengan penuh ketelitian, bersepadu, dan berkesan.

Beliau berkata pengurusan lembangan sungai yang holistik merupakan kunci kepada kelestarian sumber air Selangor dengan pembangunannya perlu dilaksanakan secara bersepadu sebagai strategi utama dalam memelihara, mengurus, dan membangunkan sumber air serta tanah merentas pelbagai sektor.

“Pendekatan ini dirangka untuk memaksimumkan faedah sosioekonomi, memastikan pengurusan sumber air yang berdaya tahan dan mampan serta memelihara dan mengembalikan ekosistem semula jadi,” katanya. 

Selain itu, Amirudin berkata sebanyak RM12.89 juta turut diperuntukkan kepada JPS Selangor dengan penambahan 10 projek baharu bagi memperkukuh keupayaan sistem saliran negeri. 

Beliau berkata ia bagi memberi tumpuan untuk meningkatkan kapasiti saliran sedia ada di kawasan berisiko serta menambah baik sistem saliran dalaman agar mampu menampung taburan hujan lebat serta aliran air yang tinggi.

Mengenai pembangunan di kawasan berpantai, Menteri Besar Selangor turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi melaksanakan 11 projek baharu meliputi kerja-kerja peningkatan dan pengukuhan benteng pantai di kawasan-kawasan terjejas.

Beliau berkata pembangunan kawasan pesisiran pantai merupakan aspek penting dalam memastikan kesejahteraan penduduk serta kelestarian ekosistem pantai.

“Fenomena perubahan iklim dan kejadian air pasang besar yang semakin kerap berlaku menuntut langkah yang lebih proaktif serta berkesan bagi memperkukuh benteng perlindungan negeri khususnya di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Kuala Langat,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan