Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program i-Sejahtera Diteruskan Dengan Peruntukan RM65 Juta Pada 2026 - Chow

14/11/2025 07:23 PM

GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri akan meneruskan Program i-Sejahtera pada tahun hadapan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM65 juta bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata untuk tahun ini, kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM53.57 juta melibatkan 287,923 penerima sehingga 31 Okt.

“Program i-Sejahtera merupakan bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam menyantuni golongan rentan dan menghargai sumbangan rakyat negeri ini.

“Pada 2024, kerajaan negeri telah mengagihkan sejumlah RM56.24 juta termasuk bantuan pengurusan jenazah kepada 286,335 penerima,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 pada 16 Mei berpandangan program i-Sejahtera wajar diteruskan dengan pendekatan lebih bersasar dan inklusif. 

Ia berikutan pada 9 Mei, Chow berkata Pulau Pinang sedang menjalankan kajian dan semakan semula terhadap Program i-Sejahtera bagi memastikan program itu mencapai sasaran.

Program i-Sejahtera merupakan penghargaan dan keprihatinan kerajaan negeri yang disumbangkan dalam bentuk kewangan secara setahun sekali kepada warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, suri rumah dan bayi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan