Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perbadanan Putrajaya Sedang Rangka Rancangan Pembangunan Sehingga 2050 - Zaliha

12/11/2025 08:05 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang melaksanakan Kajian Rancangan Pemajuan Putrajaya, bagi membentuk strategi pembangunan Putrajaya sehingga tahun 2050, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kajian itu penting, bagi merangka dokumen Rancangan Struktur Putrajaya 2050 (RSP50) dan Rancangan Tempatan Putrajaya (RTP), susulan berakhirnya Rancangan Struktur Putrajaya 2025.

“Kajian kini berada pada peringkat kedua, iaitu fasa penyediaan Laporan Pemeriksaan RSP50, yang merangkumi penemuan isu dan cabaran, pencapaian dan jurang RSP2025, serta cadangan awal bagi pembentukan strategi pembangunan Putrajaya sehingga tahun 2050,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Dr Zaliha berkata PPj hari ini membentangkan 16 penemuan strategik merangkumi aspek fizikal, demografi, perumahan, ekonomi, pelancongan, infrastruktur, alam sekitar dan tadbir urus bandar.

Beliau berkata antara cadangan yang dikemukakan termasuk keperluan merangka Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) bagi melonjakkan pelaburan pelancongan berkualiti dan mempelbagaikan ekonomi Putrajaya.

Pembangunan satu hab data bersepadu turut dicadangkan untuk di Putrajaya Urban Observatory (PUO) bagi menangani kekangan perkongsian maklumat antara agensi dan meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan data.

Selain itu, cadangan merangkumi pengukuhan rangkaian pengangkutan awam serta peningkatan keberkesanan pengurusan sumber air dan sisa pepejal.

Dr Zaliha berkata bagi memastikan rancangan yang lebih komprehensif, semua warga Putrajaya  diundang untuk memberikan pandangan melalui Sesi Pendengaran Awam RSP50, yang akan berlangsung selama sebulan bermula 17 Dis di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

“Suara anda semua amat penting bagi memastikan hala tuju baharu Putrajaya dapat digerakkan melalui pendekatan yang berpaksikan data, berorientasikan masa depan dan selari dengan aspirasi ke arah sebuah Visionary Smart City,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan