Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hakisan Pantai Di Kuala Nerus Diberi Tumpuan - Exco

12/11/2025 05:47 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus yang menumpukan kepada isu hakisan di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri Datuk Hanafiah Mat berkata projek di Pantai Batu Rakit itu melibatkan pembinaan 16 unit pemecah ombak serta kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang dua kilometer yang dijangka siap pada 14 Jan 2027.

Beliau berkata setakat ini projek berjalan mengikut jadual dan telah mencapai tahap 49.46 peratus.

"Reka bentuk projek ini berdasarkan kajian teknikal terperinci yang mengambil kira corak ombak, arus pesisir pantai serta taburan pemendapan pasir di kawasan berkenaan.

"Perlu difahami bahawa penyelesaian menyeluruh terhadap isu hakisan di sepanjang Pantai Batu Rakit memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pemuliharaan menyeluruh di sepanjang zon pesisir hingga muara sungai,” katanya pada penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata kerajaan negeri akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia Rail Link (MRL) untuk memacu pertumbuhan ekonomi wilayah berorientasikan transit, iaitu pembangunan berorientasikan transit (TOD) di jajaran stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu pada 24 Nov ini.

Beliau berkata melalui MoU berkenaan, kerajaan negeri dan MRL akan bekerjasama dalam memudah cara perancangan dan pembangunan TOD di sekitar jajaran.

"Setakat ini kerajaan negeri juga telah memulakan pelaksanaan inisiatif fizikal TOD bermula tahun ini dan diteruskan pada tahun depan. 

"Ia termasuk kerja-kerja pembersihan tapak di beberapa lokasi strategik melibatkan keseluruhan kawasan seluas kira-kira 242 hektar bagi fasa awal pembangunan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan