Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

21 Laluan Ditutup, Dilencong Sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah

12/11/2025 01:32 PM

IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 21 laluan di Kuala Kangsar akan ditutup dan dilencongkan bagi memberi laluan kepada acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) Tahun 2025 pada Sabtu dan Ahad ini. 

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata penutupan itu akan dilaksanakan bermula 10 malam (15 Nov) hingga 12 tengah hari (16 Nov) secara berperingkat bagi acara larian tujuh kilometer (km), 10km dan 15km.

Beliau berkata 15 jalan akan ditutup manakala enam lagi dilencongkan bagi melancarkan perjalanan program berkenaan. 

Jalan yang terlibat penutupan pada 10 malam 15 Nov hingga 12 tengah hari 16 Nov ialah jalan sekitar Pavilion/Dewan Jubli Kuala Kangsar, persimpangan jalan Tun Razak/jalan MCKK, persimpangan Jalan Tun Razak/jalan Daeng Selili, persimpangan lampu isyarat Bendahara/Jalan Persiaran Bendahara, persimpangan jalan MCKK/Jalan Sultan Nazrin Shah (Replika Tepak Sirih), Jalan Raja Chulan (hadapan pejabat agama Kuala Kangsar) dan Jalan Raja Chulan (hadapan Kelab Idris).

Pada 16 Nov bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari pula membabitkan Jalan Sultan Nazrin Shah (Jalan Taiping) - Replika Tepak Sirih ke Bulatan Jam, Jalan Daeng Selili (bulatan jam ke lampu isyarat Penaga), Jalan Raja Chulan (persimpangan IPD ke stesen minyak BHP Raja Chulan), persimpangan Jalan Tun Razak / Jalan Daeng Selili.

Pada masa sama turut melibatkan kedua-dua jalan dari lampu isyarat Penaga ke lampu isyarat Sayong (Jambatan Sultan Abdul Jalil), persimpangan jalan Kledang Sayong ke Tanjong Belanja (persimpangan Taman Kelisa), Jalan Istana (bulatan jam ke persimpangan Bukit Kerajaan) dan persimpangan Taman Kelisa ke lampu isyarat Sayong.

Heisham berkata bagi lencongan pula melibatkan jalan dari arah Taiping/Gerik/Tol Kuala Kangsar ke Sungai Siput akan dilencongkan dari Jalan Raja Idris (lampu isyarat Hospital Kuala Kangsar) ke Jalan Ipoh-Taiping (Kota Lama Kiri/Simpang Stesen JPJ Kuala Kangsar) dan sebaliknya kenderaan dari arah bertentangan akan dilencongkan menggunakan laluan sama.

Kenderaan dari arah Taiping/Gerik/Tol Kuala Kangsar ke Pekan Kuala Kangsar akan dilencongkan dari Jalan Sultan Nazrin Shah ke Jalan Juragan Abd Shukor (replika Tepak Sirih) dan Jalan Dato Sagor, manakala kenderaan dari Jalan Kangsar (bulatan Labu Sayong) ke bulatan jam akan dilencongkan di Simpang Pasar Lama dan Simpang Arked Mara.

Kenderaan dari Beruas/Manong Ke Taiping/Gerik/Tol Kuala Kangsar pula akan dilencongkan ke Jalan Dato Sagor, kenderaan dari Bukit Chandan akan dilencongkan ke simpang Bukit Kerajaan, selain kenderaan dari Bukit Kerajaan akan dilencongkan ke Highland Park.

"Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya warga Kuala Kangsar dinasihatkan merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan