Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lawas, Limbang Kawasan Pertama Di Sarawak Bagi Projek Lebuh Raya Mesra Alam - Abang Johari

01/11/2025 07:17 PM

KUCHING, 1 Nov (Bernama) -- Lawas dan Limbang menjadi kawasan pertama di Sarawak bagi pembinaan lebuh raya menggunakan teknologi baharu yang tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi projek pembinaan lebuh raya pesisir utara, yang menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Lebuh Raya (HIM) bagi memastikan struktur jalan raya dibina mengikut kontur muka bumi tanpa perlu memotong bukit atau merosakkan ekosistem semula jadi.

“Dulu bila buat jalan, kita potong bukit, sekarang kita tidak kacau alam semula jadi. Kita gunakan teknologi HIM yang membolehkan kita membina jalan bertiang mengikut bentuk muka bumi supaya alam sekitar kekal terpelihara,” katanya ketika melancarkan projek berkenaan di Limbang hari ini.

Abang Johari berkata kaedah pembinaan berasaskan data digital itu turut menggunakan pendekatan cerucuk bertiang bagi memastikan kestabilan struktur walaupun di kawasan tanah lembut, sekali gus mengelakkan masalah jalan bergelombang selepas beberapa tahun digunakan.

Beliau berkata walaupun kos keseluruhan projek itu tinggi dengan dianggarkan RM6.8 bilion, kerajaan Sarawak tetap meneruskannya kerana ia selaras dengan prinsip pembangunan mampan dan komitmen untuk mengekalkan keindahan semula jadi di kawasan utara negeri itu.

“Kalau negeri sudah maju, orang luar akan datang melihat keindahan alamnya. Jalan moden ini bukan sekadar memudahkan perhubungan, tetapi juga meningkatkan nilai kawasan kerana kita tidak ganggu kehijauan yang ada,” katanya.

Abang Johari berkata pembinaan lebuh raya berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi wilayah utara, sekali gus memperkukuh hubungan antara Lawas, Limbang dan kawasan sempadan Brunei serta Sabah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan