Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia-Jepun Perkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi

19/07/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Jepun mengadakan perbincangan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi, sekali gus membuktikan komitmen memperkukuh hubungan dua negara dalam bidang ilmu serta inovasi ke arah masa depan lebih baik dan berdaya saing. 

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi hantaran Facebook berkata perbincangan berlangsung semasa beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata di pejabatnya di Putrajaya.

“Antara topik dibincangkan termasuklah peningkatan program mobiliti pelajar dan pensyarah antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara serta isu pelajar Malaysia di Jepun dan pelajar Jepun di Malaysia termasuk kebajikan, biasiswa dan peluang kerjaya pascapengajian,” katanya. 

Zambry berkata turut dibincangkan ialah pencapaian penting kerjasama pendidikan tinggi Malaysia dan Jepun termasuk penubuhan University of Tsukuba Malaysia iaitu kampus cawangan luar negara pertama oleh sebuah universiti Jepun.

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai detik bersejarah menandakan tahap baharu dalam hubungan akademik dua hala dan juga pemantapan peranan Malaysia-Japan Linkage Office yang beroperasi di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Zambry berkata pertemuan itu sebagai perbincangan awal sebelum beliau bertemu rakan sejawatan dari Jepun di Tokyo pada hujung bulan ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan