AM

R2G 2023 WILAYAH SELATAN KETENGAH PERKHIDMATAN MTDC BERKAITAN INDUSTRI 4.0

22/05/2023 10:21 PM

ISKANDAR PUTERI, 22 Mei (Bernama) -- Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) mengharapkan program Road2Growth (R2G) 2023 Wilayah Selatan akan menarik banyak syarikat untuk memahami lebih mendalam mengenai perkhidmatan berkaitan Industri 4.0 (i4.0) yang ditawarkannya.

i4.0 juga dikenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohammad Hazani Hassan berkata status Johor yang semakin meningkat sebagai sebuah negeri dengan ekonomi yang kukuh menjadi antara sebab mendorong pihaknya bersungguh untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif dan teknologi dalam i4.0 dan pendigitalan.

Beliau berkata MTDC juga mahu mengembangkan ekosistem syarikatnya di wilayah selatan dan membantu mempertingkatkan bakat sejajar dengan keperluan yang semakin tinggi untuk pakar 4IR.

Melalui R2G Wilayah Selatan, syarikat boleh meneroka peluang perniagaan melalui pertukaran idea dan rangkaian dengan peserta industri, universiti, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

“Kami mendapat sambutan yang baik daripada syarikat di Johor dan kami mahu menggalakkan syarikat berasaskan teknologi.

“Kami perlu bekerjasama dengan penyelidik, pengasas, syarikat peringkat awal, syarikat permula niaga dan agensi yang menggalakkan pertumbuhan syarikat selain dengan syarikat multinasional,” katanya kepada pemberita pada R2G Wilayah Selatan yang diadakan di Medini 6 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata di Johor, MTDC membawa lebih banyak syarikat seperti firma penyelidik, sebagai sebahagian daripada syarikat 4IR, robotik, automasi dan dron.

R2G adalah platform untuk menyebarkan maklumat dan memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh MTDC, iaitu Program Pendanaan, Program Latihan Usahawan Teknologi di bawah Akademi Latihan Usahawan Teknologi (Tentra), penyelesaian Teknologi i4.0 oleh MTDC Centre of 9 Pillars (Co9P), Khidmat Nasihat Teknikal dan Perniagaan (TBAS) serta Pusat Teknologi MTDC.

Beliau berkata ekosistem syarikat MTDC akan mempamerkan inovasi dan teknologi tempatan mereka semasa sesi perkongsian.

Penyelesaian tempatan ini boleh diterima guna oleh syarikat terutama syarikat bersaiz kecil dan sederhana tempatan, katanya.

Tambahan pula, dengan sokongan dan sumber yang betul, usahawan Malaysia mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat global dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami berharap program di Johor adalah satu permulaan bagi menghimpunkan semua pihak untuk memahami ekosistem dan semoga kejayaan berganda untuk syarikat dan program,” katanya.

MTDC ialah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan