BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
AM

RIUH NAU! Melaka sasar 20,000 pengunjung, platform bangkitkan semula industri kreatif

06/08/2022 12:16 AM

MELAKA, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung ke Kembara RIUH Keluarga Malaysia edisi ketiga iaitu ‘RIUH NAU!’ yang bermula hari ini hingga 7 Ogos di Dataran Pahlawan, Melaka.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata ia sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan semula industri seni dan budaya kreatif ketika fasa peralihan ke endemik, memandangkan pentingnya industri ini dalam pembangunan negara.

"Kembara RIUH Keluarga Malaysia ke seluruh negara yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) merupakan platform penyampaian maklumat mengenai inisiatif kerajaan dalam memacu industri ini.

"Selain menggerakkan para penggiat seni untuk menjana pendapatan daripada hasil seni kreatif dan secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negara, ia juga menunjukkan kerajaan komited dalam mengiktiraf industri kreatif sebagai salah satu industri strategik yang berimpak tinggi dan diberi tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya dalam kenyataan malam ini.

Jelasnya usaha membangunkan ekosistem kreatif tempatan dilaksanakan segera melalui jalinan strategik yang menggabungkan pencipta jenama, usahawan kreatif dan artis dengan komuniti setempat.

"Justeru, program RIUH yang sebelum ini hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang, telah melebarkan sayap ke Ayer Hitam, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini melalui siri Kembara RIUH Keluarga Malaysia dalam usaha membantu penggiat industri seni terutama yang terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.

Annuar berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap kelangsungan industri kreatif negara, malah sejak penubuhan MyCreative pada tahun 2012 sehingga kini, bantuan kewangan berbentuk pinjaman dan geran sebanyak RM447.7 juta telah memberi manfaat kepada seramai 949 penggiat dan usahawan industri kreatif.

Selain itu katanya RM10.93 juta juga disalurkan bagi tujuan pembangunan industri kreatif yang telah membantu lebih daripada 900 penggiat dan usahawan dari pelbagai dimensi industri kreatif termasuk filem, kandungan kreatif, muzik, seni persembahan, seni visual, sastera dan seni reka yang membolehkan penggiat serta pekerja di belakang tabir menjana pendapatan.

"Potensi industri ini perlu dioptimumkan sebaik-baiknya agar hasrat Kerajaan yang menyasarkan sumbangan 20 peratus industri kreatif tempatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran RM31.9 bilion menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan," katanya.

Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman  Md Ali dan Kerajaan Negeri Melaka selaku tuan rumah yang bekerjasama dengan pihak kementerian dalam penganjuran edisi RIUH NAU! kali ini.

-- BERNAMA


 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan