BERITA COVID–19   COVID-19: Lebih 22.9 juta dewasa lengkap divaksin | KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids | Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | 
AM

Kebanjiran pelancong bukan alasan naikkan harga makanan - KPDNHEP Melaka

14/05/2022 09:16 AM

MELAKA, 14 Mei (Bernama) -- Peniaga makanan di negeri ini diberi amaran agar tidak menjadikan 'kebanjiran’ pelancong ke Melaka sebagai alasan menaikkan harga makanan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata ini berikutan pihaknya mula mendapat aduan berkaitan kenaikan harga yang tidak munasabah di beberapa restoran di Ayer Keroh.

"Kita akui menerima aduan malah telah memberikan notis kepada pengusaha restoran yang menaikkan harga sehingga tidak munasabah dan tindakan pemeriksaan telah dilakukan. 

"Kita tidak mahu kenaikan harga makanan kerana pelancong datang ke Melaka menjadi satu isu sebab kita tahu kos sara hidup di sini sedikit rendah berbanding negeri lain," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Tambahnya, antara alasan cubaan peniaga tersebut menaikkan harga adalah untuk menampung kerugian yang dialami mereka selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 namun beliau menegaskan ia bukan alasan kerana semua pihak terkesan sepanjang tempoh itu. 

“Kami juga percaya peniaga ini bukan degil tetapi mencuba nasib dengan naikkan harga antara RM2 hingga RM3 dengan kehadiran pelancong walaupun alasan yang diberikan adalah harga barang mentah meningkat sedangkan ia naik sedikit dan masih terkawal,” katanya. 

Mengulas lanjut, Norena berkata pihak penguat kuasa KPDNHEP pada Khamis lepas telah menjalankan operasi mengejut selepas menerima aduan daripada pelanggan mengenai kenaikan harga makanan bermasak di sekitar Ayer Keroh.

"Kita telah mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap pengusaha dua restoran susulan aduan mengenai caj harga makanan ‘tidak masuk akal’.

"Notis bertulis itu perlu dijawab oleh peniaga atau pemilik dalam tempoh tujuh hari dan sekiranya gagal tindakan boleh dikenakan. Jika didapati bersalah, peniaga itu boleh dikenakan kompaun antara RM100 hingga RM10,000 bagi kesalahan pertama mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

-- BERNAMA


 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan