BERITA COVID–19   COVID-19: Lebih 22.9 juta dewasa lengkap divaksin | KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids | Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | 
AM

Tiga jenazah pelajar USAS disembahyangkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun

14/05/2022 12:58 AM

KUALA KANGSAR, 13 Mei (Bernama) -- Tiga jenazah pelajar yang rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada tengah malam Rabu dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selepas proses pengecaman selesai.

Jenazah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, dibawa ke masjid itu pada kira-kira 11.15 malam dengan disambut oleh ratusan pelajar dan jemaah yang hadir.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan masjid apabila jenazah dibawa untuk disembahyangkan malam ini dan jemaah yang hadir mengerumuni jenazah bagi menatap mereka buat kali terakhir.

Jenazah Muhammad Nasrun, yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, akan dibawa ke Kuala Kubu Bharu di Selangor manakala jenazah Muhammad Nabil Haikal, yang merupakan penuntut Diploma Pentadbiran Perniagaan, pula dibawa ke Mantin, Negeri Sembilan untuk dikebumikan selepas subuh.

Sementara itu, jenazah Iqbal Hasnun, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, akan dibawa pulang untuk dikebumikan sebaik tiba di Senai, Johor.

Pengarah Hospital Taiping Dr Hajah Narimah Yusof dalam satu kenyataan memaklumkan identiti ketiga-tiga mangsa berjaya dikenal pasti hasil bedah siasat dan pemeriksaan forensik odontologi.

"Bedah siasat yang dijalankan bersama pasukan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping dan Unit Forensik Odontologi Hospital Kuala Lumpur mengambil masa kurang 24 jam untuk mengenal pasti ketiga-tiga mangsa berkenaan," katanya.

Pagi tadi, jenazah mereka dihantar ke Hospital Taiping dari Hospital Kuala Kangsar bagi proses bedah siasat selanjutnya sebelum dituntut ahli keluarga yang menginap di sebuah hotel disediakan Kerajaan Negeri Perak sehingga urusan bedah siasat selesai.

Malam semalam, dua lagi pelajar USAS yang rentung dalam kebakaran kereta selepas kemalangan bersama dua treler di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini dikenal pasti oleh ahli keluarga menerusi proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar dan disolatkan di masjid sama sebelum jenzah masing-masing dibawa pulang ke Parit Buntar dan Kemaman, Terengganu untuk urusan pengebumian.

Insiden pada kira-kira 12.50 tengah malam itu menyebabkan lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar akibat kemalangan bersama dua treler.

Mereka ialah Muhammad Nasrun Aidol (yang memandu kereta), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang depan) serta Muhammad Nabil Haikal, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan