BERITA COVID–19   KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | PKP: 70,000 pelajar IPT pulang ke kampung secara berperingkat mulai hari ini - Noraini | COVID: PKPD di dua lokaliti di Julau, Sarawak | PKP: Joging, berbasikal, senaman kini dibenarkan mulai 8 Mei | 
AM

Guru mesti hormati hak kanak-kanak - Suhakam

04/05/2021 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei -- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa Menteri Pendidikan untuk mengambil tindakan terhadap guru yang telah menganiaya pelajar perempuan secara seksual menggunakan bahasa yang tidak senonoh dan berbaur lucah.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata tindakan juga mesti diambil terhadap guru-guru yang mengganggu aktiviti pelajar tersebut yang cukup berani mempertahankan hak kanak-kanak.

“Guru mesti menghormati hak kanak-kanak dan melayan mereka dengan bermaruah setiap masa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kenyataan Noor Aziah merujuk kepada isu pelajar remaja perempuan menerusi aplikasi TikTok yang mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika di dalam kelas semasa membincangkan isu gangguan seksual ketika subjek pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya.

Kata Noor Aziah, Suhakam bimbang dengan laporan terbaru berhubung tingkah laku buruk sesetengah guru yang mencemarkan imej profesion itu.

Tingkah laku tersebut termasuklah guru memperlecehkan seorang aktivis pelajar secara seksual di media sosial dengan menggunakan bahasa yang kotor dan mengejek tubuh pelajar selain budaya toksik dalam kalangan guru yang saling melindungi antara satu sama lain apabila terdapat aduan terhadap guru, katanya. 

Beliau berkata guru adalah teladan dan mesti menyedari bahawa tindakan mereka atau tiada tindakan oleh mereka akan memberi kesan kepada kehidupan pelajar mereka selama bertahun-tahun. 

Guru memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan visi Akta Pendidikan 1996 yang bertujuan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, kata Noor Aziah.  

Beliau turut mengingatkan dan menegaskan bahawa sekolah mesti dijadikan tempat yang selamat untuk kanak-kanak.

Lebih banyak mekanisme hendaklah dirancang dan dilaksanakan agar kanak-kanak dapat menikmati masa mereka belajar, memperoleh pendidikan yang bermanfaat dan sihat yang akan berlangsung seumur hidup mereka, katanya. 

Noor Aziah juga mengulangi bahawa fungsi sekolah, latihan guru dan sistem pendidikan hendaklah dikaji semula sehingga visi Akta Pendidikan dan juga prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC)  dapat dicapai.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan