BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
AM

PM Thai sahkan tidak sertai Mesyuarat Khas ASEAN mengenai Myanmar

20/04/2021 06:04 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 20 April -- Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengesahkan tidak akan menghadiri Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN Sabtu ini di Jakarta, Indonesia.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media di Rumah Kerajaan, Prayuth, merangkap Menteri Pertahanan, berkata Thailand akan diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai.

Prayuth tidak memberikan butiran lanjut alasan ketidakhadirannya ke mesyuarat di Sekretariat ASEAN itu yang bertujuan mencari jalan penyelesaian pergolakan di Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Februari.

Panglima junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing yang mengetuai rampasan kuasa dijangka menghadiri mesyuarat itu. Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke luar negara sejak rampasan kuasa. 

Sementara itu, kerajaan bayangan Myanmar - Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) - mendesak  pemimpin ASEAN untuk membenarkan perwakilannya menghadiri mesyuarat di Jakarta itu. 

Menteri Luar de facto NUG, Moe Zaw Oo dan lima lagi ahli parlimen yang digulingkan dan pemimpin tunjuk perasaan antikudeta serta etnik minoriti, berkata ASEAN belum menghubungi mereka.

"Sekiranya ASEAN ingin membantu menyelesaikan situasi Myanmar, mereka tidak akan mencapai apa-apa tanpa mendengar pandangan dan berunding dengan NUG, yang disokong rakyat dan mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang," katanya kepada Burma Voice of America.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, menyaksikan tentera telah membunuh lebih 700 penunjuk perasaan sejak protes antikudeta tercetus. 

-- BERNAMA 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan