BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
AM

Komuniti perlu jadi responden pertama khidmat kebombaan di Sabah, Sarawak

20/04/2021 01:42 AM

KOTA KINABALU, 19 April  -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memperkukuh ilmu kebombaan dalam kalangan komuniti di Sabah dan Sarawak bagi memastikan komuniti itu mampu menjadi reponden pertama apabila berlaku kecemasan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. 

Beliau berkata langkah itu penting kerana dua negeri tersebut amat luas selain mempunyai cabaran logistik tersendiri.

"Bomba ini tidak boleh jadi seperti 'Superman’ ada bencana terus sampai, ada macam-macam halangan untuk kita sampai seperti Balai Bomba Kota Kinabalu boleh beri liputan seluruh bandar raya secara teorinya tetapi trafik selalu berubah, juga maklumat diperoleh pun ada tidak tepat.

"Jadi apabila kita perkukuh ilmu kebombaan dalam komuniti, mereka bukan sahaja dapat jadi yang pertama beri khidmat di lokasi tetapi kemudian boleh kerjasama dengan kita membantu operasi itu," katanya pada sidang media di sini malam ini.

Terdahulu beliau menyampaikan anugerah Pingat Kebesaran JBPM kepada 17 penerima dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 71 anggota JBPM Sabah.

Mohammad Hamdan berkata antara contoh terbaik usaha itu di Sabah ialah penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dalam kalangan malim gunung bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan gunung terutama Gunung Kinabalu.

Beliau berkata menerusi MOSAR, malim gunung itu dilantik sebagai anggota bomba bantuan dengan bayaran elaun RM8 sejam serta diberi latihan kebombaan, antaranya operasi mencari dan menyelamat selain diberikan alatan serta keperluan untuk menjalankan tugas kebombaan.

"Malim gunung ini masih menjalankan tugas harian seperti biasa seperti membawa barang menaiki gunung dan menjadi pemandu kepada pendaki, tetapi apabila berlaku kecemasan malim gunung ini akan menjadi responden pertama untuk memberikan bantuan sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba.

"Selain itu, ada juga kita tubuh skuad bomba nelayan untuk operasi menyelamat di laut...jadi komuniti setempat seperti malim gunung dan nelayan ini lebih tahu selok-belok kawasan persekitaran mereka yang mana ini akan memudahkan operasi kebombaan itu," katanya.

Ditanya tentang keperluan pembinaan balai bomba baharu di Sabah dan Sarawak, beliau berkata JBPM melakukan kajian indeks risiko kebakaran setiap lima tahun sekali bagi mengenal pasti keperluan pembinaan tersebut.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan