BERITA COVID–19   PKPD Bunut Susu: Ujian saringan pertama selesai, 235 individu positif | P. Pinang mohon kerajaan persekutuan segera lulus ujian RT-PCR pekerja kilang | Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | 
AM

Sukarelawan ujian klinikal fasa tiga vaksin COVID-19 tidak perlu divaksin semula

19/04/2021 05:42 PM

PUTRAJAYA, 19 April -- Sukarelawan yang menyertai ujian klinikal fasa tiga vaksin COVID-19 dari China tidak perlu divaksin semula dengan vaksin lain seperti Pfizer-BioNTech atau Sinovac, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ini kerana mereka dianggap golongan terlindung dan tidak boleh diberikan vaksin tambahan memandangkan mereka tertakluk dalam kajian khusus yang akan dijalankan selama 13 bulan itu. 

“Namun, pendekatan kesihatan am seperti pemakaian pelitup muka dan penjagaan kendiri turut ditekankan kepada sukarelawan itu,” katanya ketika ditanya mengenai status sukarelawan terbabit pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan program imunisasi, di sini hari ini.

Ujian klinikal fasa tiga itu adalah program kerjasama antara Malaysia dan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS) dan kira-kira 3,000 sukarelawan yang berusia 18 tahun ke atas terlibat dalam kajian itu.

IMBCAMS sebelum ini telah melaksanakan percubaan klinikal fasa satu dan fasa dua di China dan sebanyak sembilan hospital di seluruh negara terlibat dalam ujian klinikal itu, antaranya Hospital Sungai Buloh dan Hospital Taiping.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata kerajaan mengambil maklum mengenai maklumat terkini daripada syarikat farmaseutikal Pfizer yang memaklumkan individu yang telah menerima dua dos vaksin Pfizer-BioNTech mungkin memerlukan suntikan dos ketiga.

Katanya Malaysia belum menerima sebarang data berkenaan keperluan dos ketiga vaksin berkenaan namun Kementerian Kesihatan dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 akan merancang pelan jangka panjang mengenai perkara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla baru-baru dilaporkan berkata suntikan dos ketiga vaksin itu mungkin diperlukan antara enam hingga 12 bulan selepas dos terakhir.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan