BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
AM

Buta tidak halang warga emas bergelar penternak puyuh

17/04/2021 01:20 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 17 April -- Tragedi kemalangan jalan raya kira-kira 25 tahun lepas sehingga mengakibatkan kedua-dua belah matanya buta tidak mematahkan semangat seorang warga emas di Kampung Sri Gading, di sini, untuk bergelar seorang penternak burung puyuh.

Kow Meng Soon, 60, berkata dia kini menternak 5,000 ekor burung puyuh dan mampu menjual kira-kira 2,000 biji telur haiwan itu setiap hari kepada pemborong.

Menurut Kow, dia dan isteri, Disianti Lee, 30, perlu menternak burung berkenaan demi mata pencarian kerana ia satu-satunya pekerjaan yang mampu dilakukannya selepas menjadi orang kurang upaya (OKU).

“Sebelum ini saya bekerja di Singapura dan saya nekad untuk menternak burung puyuh walaupun tidak mempunyai pengalaman. Saya menggunakan wang simpanan hasil pekerjaan sebelum ini sebagai modal...ia lebih baik daripada saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Saya juga perlu bekerja keras, lebih-lebih lagi memiliki tiga anak berumur antara enam dan 15 tahun yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Kow mengakui penularan pandemik COVID-19 turut memberi tempias terhadap aktiviti ternakannya dengan kehilangan lebih separuh pendapatan.

Katanya, dia pernah kerugian besar apabila tidak dapat menternak burung puyuh hampir 10 bulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lepas.

“Ketika itu, saya perlu melupuskan hampir 10,000 ekor burung puyuh selain memberikannya kepada kenalan dan jiran. Kini setelah hampir tiga bulan saya memulakan kembali ternakan, saya gembira dan bersyukur kerana telur puyuh ini masih mempunyai pasaran walaupun tidak seperti sebelum PKP,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sri Gading Sharuddin Abu Bakar berkata dia berbangga dengan Kow yang tabah dan cekal untuk berjaya walaupun bergelar OKU.

“Kow merupakan satu-satunya OKU yang boleh dianggap berjaya di kampung ini dan usahanya ini diharap dapat dijadikan teladan oleh para penduduk kampung,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan