BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
AM

Sabah beri amaran tindakan tegas terhadap pelanggaran SOP majlis sosial

10/04/2021 10:20 PM

KOTA KINABALU, 10 April -- Kerajaan Sabah hari ini memberi peringatan dan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas masyarakat atau individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam penganjuran majlis sosial di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata peringatan serta amaran tindakan tegas itu susulan situasi semasa COVID-19 di Sabah yang menunjukkan peningkatan kes baharu positif semakin membimbangkan.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 itu berkata pihak penguatkuasa tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan kompaun  sehingga RM10,000 kepada sesiapa yang didapati melanggar SOP ditetapkan.

“Masyarakat atau individu yang mengadakan majlis sosial dan keramaian seperti kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi serta sambutan hari lahir atau ulang tahun diingatkan supaya memberi kerjasama mematuhi SOP.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri menyarankan supaya majlis-majlis seperti ini diadakan secara sederhana atau ditangguhkan buat sementara waktu,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sekali lagi menegaskan untuk tidak membenarkan majlis sosial diadakan di mana-mana kawasan di Sabah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Bagi masyarakat di kawasan selain PKP dan PKPD pula, kerajaan negeri menggalakkan pendaftaran majlis menerusi aplikasi Sabah Trace bagi memudahkan pemantauan SOP oleh pihak penguatkuasa.

Masidi juga berkata Sabah hari ini melaporkan sebanyak 131 kes positif baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif jangkitan itu di negeri tersebut setakat ini ialah 55,670 kes manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula seramai 70 orang dengan jumlah kumulatif 54,481.

Mengulas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Sabah, Masidi berkata seramai 88,592 individu telah menerima suntikan vaksin setakat ini dengan 39,606 orang daripada mereka melengkapkan suntikan bagi kedua-dua dos.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan