BERITA COVID–19   COVID: Thailand dalam proses tambah permerolehan vaksin | COVID-19: Lagi varian baharu ditemukan di Indonesia | COVID: 929,435 individu di Sarawak dijangka terima vaksin fasa kedua | PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah bermula esok | PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah bermula esok | 
AM

COVID: 1,285 kes baharu, empat kematian - KP Kesihatan

08/04/2021 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 8 April -- Malaysia mencatatkan sebanyak 1,285 kes baharu COVID-19 hari ini dengan menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 355,753 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak empat kematian melibatkan kesemua warga tempatan dan empat kluster baharu direkodkan.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, 1,268 kes membabitkan penularan tempatan manakala 17 lagi adalah kes import manakala 1,175 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 340,242.

Menurutnya, sebanyak 186 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 81 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata Selangor kembali mencatat kes harian tertinggi iaitu 374 kes diikuti Sarawak (211),Pulau Pinang (162), Kuala Lumpur (120), Sabah (106) dan 101 kes di Johor.

Lapan negeri mencatatkan kes dua angka iaitu Kelantan (87), Kedah (31), Perak (24) Putrajaya (19), Pahang (13), Negeri Sembilan (12) dan masing-masing 11 kes di Terengganu dan Melaka.

“Hanya satu negeri dan wilayah merekodkan kes satu angka iaitu Labuan, tiga kes dan Perlis, satu kes,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata empat kluster baharu dikenal pasti melibatkan tiga kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Kluster tempat kerja membabitkan Jalan Taming di Selangor, Industri Parit Raja (Johor) dan Perusahaan Perai Tiga (Pulau Pinang) manakala kluster komuniti ialah Padang Manggis di Pahang, katanya.

"Perkembangan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini ialah 1,435 dengan 348 kluster aktif," sambil menambah 10 kluster diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang telah tamat ialah 1,087.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan