BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
AM

Peladang outlet kurangkan pengaruh orang tengah - Ronald

09/04/2021 12:50 AM

KLUANG, 8 April  -- Penjenamaan semula Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) kepada Peladang Outlet (PO) yang dilancarkan hari ini, dapat mengurangkan pengaruh orang tengah dalam urusan pembelian dan penjualan hasil tani negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata melalui PO, setiap pengusaha dapat menjual hasil pertanian dengan lebih menguntungkan, memandangkan hanya dikenakan caj pengurusan tidak melebihi RM1 bagi setiap sekilogram produk, bergantung kepada harga pasaran.

Menurut beliau, penjenamaan semula itu turut meningkatkan nilai komersial pusat tersebut sekali gus meningkatkan kesedaran pengguna mengenai keberadaan jenama peladang dalam pasaran.

“Sebagai contoh bagi sekilogram cili yang berharga RM9, PO beli pada harga RM8. Kalau orang tengah (orang luar), mereka beli sekitar RM6 sahaja, tidak kurang daripada itu. 

“Jadi sudah tentu keuntungan dia (orang tengah) lebih besar tetapi apabila PO ini ada, kerja-kerja orang tengah ini semua dibuat di pusat ini, sebelum produk akhirnya nanti dijual kepada pembeli merangkumi pasar raya, pemborong dan lain-lain,” katanya. 

Ronald berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran PO Peringkat Kebangsaan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Samsolbari Jamali, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim.

Ronald berkata program penjenamaan itu juga demi memastikan saluran pemasaran Pertubuhan Peladang (PP) kekal dalam perniagaan seiring dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

“Penggunaan jenama PO adalah jenama baharu yang akan mewakili seluruh PP agar mampu bersaing dan menjadi peneraju kepada aktiviti pemasaran, sekali gus dapat menggambarkan fungsi peladang itu sendiri yang mempunyai pelbagai produk,” katanya.

Terdahulu, bersempena majlis itu, Ronald turut menyampaikan 22 lori sejuk beku dan kargo dengan peruntukan RM3.4 juta kepada PP seluruh negara.

Peruntukan tersebut diberikan di bawah Dana Khas Agromakanan Pertubuhan Peladang (Mobilisasi dan Logistik) melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin.

Turut disampaikan peruntukan Projek Pertanian Organik bernilai RM3.2 juta dan peruntukan modal pusingan bagi kumpulan wang pinjaman Pertubuhan Peladang PPK Kluang bernilai RM400,000. 

-- BERNAMA 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan