KUALA LUMPUR, 8 April -- Seramai 308 kakitangan berstatus ‘piecemeal’ (pekerja sementara atau sambilan) di Jabatan Penyiaran Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dilantik sebagai pegawai kontrak perkhidmatan berkuat kuasa 1 April lalu.
Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata pelantikan itu diharap dapat memberi motivasi kepada penerima untuk meningkatkan lagi usaha, komitmen, produktiviti serta kualiti kerja masing-masing.
"… tunjukkan bahawa pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan ini merupakan satu pengiktirafan yang selaras dengan pengorbanan yang telah diberikan oleh anda selama ini.
“Saya juga berharap apabila anda telah menjawat jawatan sebagai pegawai kontrak, (dengan itu) akan dapat membantu melonjakkan lagi nama RTM (Radio Televisyen Malaysia) supaya menjadi stesen yang utama, dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Sebagai Pegawai Kontrak Perkhidmatan kepada Piecemeal Jabatan Penyiaran Malaysia KKMM di Angkasapuri RTM, hari ini.
Antara penerima lantikan yang berstatus 'piecemeal’ paling lama ialah penyampai berita TV Norlela Mohd Nor yang memulakan perkhidmatan pada 2000 serta penyunting berita bahasa Melayu Hasron Hassan yang berkhidmat sejak 2001.
-- BERNAMA
© 2021 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan