BERITA COVID–19   COVID-19 wujudkan globalisasi maya, ketengah pelbagai peluang baharu - Pakar | Komuniti perniagaan perlu guna pakai strategi berpusat syarikat | COVID-19: Singapura lepasi 60,000 kes | 231 sekolah rendah di Sarawak dibenar beroperasi secara bersemuka mulai Isnin | TV Pendidikan diteruskan, sasar pelajar tertentu - Radzi | 
AM

Majikan masih gagal sediakan penginapan selesa

22/02/2021 07:17 PM

LANGKAWI, 22 Feb -- Masih terdapat majikan gagal menyediakan penginapan sempurna, sehingga memaksa pekerja tinggal di kawasan yang kotor dan daif di dalam kawasan tapak pembinaan, kata Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kedah Mohd Azmi Dzulkifli.

Beliau berkata kesalahan tersebut antara yang dikesan, menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu di dua tapak pembinaan sekitar pulau ini, bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi.

“Hasil pemeriksaan di lokasi pertama, secara keseluruhan mereka mematuhi SOP namun Jabatan Tenaga Kerja Kedah (JTK) Daerah Langkawi, telah mengarahkan kontraktor utama untuk mendapatkan perakuan penempatan sementara pekerja di tapak pembinaan.

“Tapak pembinaan kedua secara umum kontraktor juga mematuhi SOP dikeluarkan, namun mereka juga telah diminta membuat permohonan perakuan penempatan sementara pekerja di tapak pembinaan. Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi turut menemui jentik-jentik di tapak pembinaan kedua, tindakan lanjut akan diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pemeriksaan di sini hari ini.

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu CIDB  itu diadakan secara bersama JTK Daerah Langkawi, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan dan Polis Diraja Malaysia Langkawi (PDRM).

Mengulas lanjut Mohd Azmi berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, CIDB telah membuat pemeriksaan di 149 tapak pembinaan di seluruh negeri Kedah.

“Tiga daripada 149 tapak pembinaan telah diarahkan tutup kerana melanggar SOP. Melihat kepada peratusan penutupan dicatatkan, prestasi kontraktor di Kedah menunjukkan pematuhan yang sangat baik.

“Kita sentiasa menyeru kontraktor di negeri ini supaya menjalankan kerja-kerja pembinaan mengikut SOP dikeluarkan MKN, bagi memastikan tiada penularan COVID-19 seterusnya berlaku kluster kepada wabak tersebut dari tapak pembinaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan