Selasa, 26 Januari 2021
AM
14/01/2021 09:10 PM

GUA MUSANG, 14 Jan  -- Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disahkan positif COVID-19 dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

Beliau menerima keputusan ujian saringan COVID-19 malam tadi dan terus dikejarkan ke PPUM untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, Tengku Razaleigh melakukan ujian saringan pada Selasa lalu.

"Apabila keputusan positif diterimanya malam tadi, Tengku Razaleigh terus dibawa ke PPUM untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, petang ini.

Mohd Syahbuddin berkata Tengku Razaleigh merupakan kontak rapat dengannya dan ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, yang kedua-duanya disahkan positif COVID-19 sebelum ini.

Semalam, Pegawai Peribadi Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Abdul Ghani juga disahkan positif COVID-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

 Pada 11 Jan lalu, Mohd Syahbuddin bersama Ab Aziz disahkan positif COVID-19 dan dikejarkan ke HSIP Kuala Krai untuk menerima rawatan.

"Alhamdulillah, kesihatan saya bersama Ab Aziz bertambah baik dan terima kasih atas doa rakyat Gua Musang mohon (kami) cepat sembuh," kata Mohd Syahbuddin.

Selain itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani dan Timbalan Ketua Wanita UMNO bahagian, Ruhaida Abdul Hamid juga turut disahkan positif COVID-19.

Mereka juga menerima rawatan di HSIP  Kuala Krai dan keadaan dilaporkan stabil.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Kelantan telah membuka kaunter ujian saringan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang pada Selasa lalu bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pemimpin-pemimpin terbabit.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan