Sabtu, 16 Januari 2021
AM
12/01/2021 06:23 PM

GEORGE TOWN, 12 Jan -- Kerajaan Pulau Pinang telah mencadangkan dua lokasi baharu bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah iaitu Pusat Kecemerlangan MARA di Jawi dan Tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketetapan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang Perintah Kawalan Pergerakan Menangani Wabak COVID-19 yang dipengerusikan oleh beliau pagi ini.

"Berhubung PKRC Berisiko Rendah, kerajaan negeri pada 11 Jan 2021 telah mengutus surat kepada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung cadangan lokasi baharu di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi, Seberang Perai Selatan dan Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong, Daerah Timur Laut dengan permohonan peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Kedua-dua lokasi ini masing-masing mampu menempatkan 1,000 pesakit,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, 

Beliau berkata mesyuarat tersebut juga mengambil maklum pengumuman khas darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerjasama penuh akan diberikan untuk memerangi pandemik COVID-19.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah melaporkan terdapat lapan kluster aktif di Pulau Pinang sehingga semalam, katanya.

Chow turut menyeru rakyat Pulau Pinang supaya memberi kerjasama penuh demi menjayakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua minggu ini bermula esok.

“Sebanyak 39 Sekatan Jalan Raya (SJR) membabitkan 1,142 keanggotaan akan dijalankan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP," katanya.

Selain itu, Chow berkata JKNPP turut diminta memaklumkan Kementerian berhubung inisiatif pihak-pihak swasta di negeri ini termasuk Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang yang menyatakan persetujuan untuk menjalankan saringan massa dalam kalangan pekerja mereka dan kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) yang bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan