Sabtu, 05 Disember 2020
AM
21/11/2020 06:08 PM

GEORGE TOWN, 21 Nov  -- Sempena Hari Perikanan Sedunia hari ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru supaya kerajaan dan masyarakat memberikan perhatian yang serius terhadap ancaman sumber kehidupan laut yang semakin meruncing.

Presidennya, R. Meenakshi berkata ancaman tersebut berpunca daripada penangkapan ikan berlebihan, kaedah tangkapan yang merosakkan sumber, pemusnahan habitat, pencemaran, pembangunan pinggir pantai dan sebagainya.

Katanya, kajian melaporkan bahawa lebih daripada dua pertiga perikanan dunia telah mengalami penangkapan berlebihan atau dituai sepenuhnya dan lebih satu pertiga berada dalam keadaan merosot kerana pelbagai faktor.

“Di Malaysia, pukat tunda dan alat tangkap terlarang serta merosakkan sumber merupakan satu daripada faktor utama kemerosotan sumber perikanan. Alat tangkap ini banyak memerangkap anak-anak ikan yang tiada nilai komersial, dan dijadikan ikan baja. Kajian menunjukkan hingga 60 peratus tangkapan oleh pukat tunda adalah ikan baja dan anak-anak ikan.

“Selain itu, alat tangkap ini merosakkan dasar laut dan kawasan pembiakan hidupan marin. Operasi pukat tunda ini juga telah menimbulkan konflik dan ketegangan kepada nelayan pantai zon A kerana pukat ini kerap menceroboh ke kawasan tangkap nelayan Zon A serta merosakkan alat tangkapan nelayan,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Dasar Penghapusan Pukat Tunda B dan Penghapusan Pukat Kenka 2 bot (Apollo) yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Jan 2021 mesti diteruskan seperti yang dirancang.

Tambahnya, dasar itu telah lama dirancang iaitu sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan dijangka mula berkuat kuasa bermula 1 Jan 2016. Bagaimanapun, perancangan itu ditunda atas dasar dan bantahan pengusaha pukat tunda yang memerlukan lebih masa untuk menukar alat tangkap serta kebajikan awak-awak dan tekong.

Selain itu, beliau berkata masalah pencerobohan nelayan asing juga harus diberi perhatian serius. Pencerobohan nelayan asing dari negara jiran terutamanya dari Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia telah menyebabkan negara kerugian RM6 bilion setahun.

Beliau berkata penggunaan pukat tunda ganding oleh nelayan asing banyak merosakkan sumber, bubu dan unjam nelayan serta mengancam keselamatan nelayan tempatan. Justeru beliau menggalakkan agar lesen kapal terpakai yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan  disemak semula kerana banyak lesen-lesen sebegitu dipergunakan untuk kepentingan sesetengah pihak.

Meenakshi bagaimanapun turut  memuji usaha Jabatan Perikanan bagi meningkat sumber perikanan melalui penggunaan tukun tiruan serta menggalakkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya bakau.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan