Sabtu, 05 Disember 2020
AM
21/11/2020 05:55 PM

TAWAU, 21 Nov -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengesahkan kejadian samun di laut membabitkan dua nelayan tempatan di perairan Inderasabah dekat sini, semalam.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kedua-dua lelaki berumur 30 dan 20 tahun tersebut yang sedang memukat di kawasan itu dihampiri tiga lelaki bersenjatakan parang serta pistol yang menaiki sebuah bot pada 3.40 petang.

"Suspek menyamun enjin bot 15 kuasa kuda, kad pengenalan, wang tunai RM3 dan dua telefon bimbit daripada mangsa

"Bagaimanapun kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat dan seorang daripada mereka membuat laporan polis selepas itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Fuad berkata berdasarkan keterangan mangsa, kesemua suspek yang bercakap dalam loghat asing itu dipercayai kumpulan penjenayah 'kelompok dalaman'.

"ESSCom sedang giat mengesan kumpulan itu yang dipercayai masih berada di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata tangkapan tiga suspek warga Filipina di Pulau Bum Bum, Semporna pada Selasa lepas melalui operasi khas pasukan petugas khas yang ditubuhkan ESSCom tersebut turut membawa kepada penyelesaian tiga kes rompakan laut di Lahad Datu.

ESSCom baru-baru ini menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras kes samun serta rompakan di laut ESSZONE dan penubuhan pasukan itu merupakan komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam menangani sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan komuniti maritim.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan