Selasa, 24 November 2020
AM
16/11/2020 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov -- Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove, Klang bermula esok hingga 30 Nov ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya pelaksanaan PKPD di lokaliti itu yang diputuskan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, melibatkan 13,190 pekerja kilang itu yang menginap di asrama pekerja lelaki dan wanita serta hampir 1,200 penduduk di Jalan Abadi 1A/8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8.

Beliau berkata sehingga kini, hasil saringan COVID-19 yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan terbabit mendapati sebanyak 215 kes positif COVID-19.  

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan KKM terus melaksanakan saringan bersasar kepada pekerja dan penduduk di kawasan tersebut.

Pihak Top Glove juga perlu membuat saringan sepenuhnya kepada semua pekerja di kilang dan di asrama-asrama yang membekalkan tenaga kerja kepada kilang tersebut,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan hari ini bersetuju menamatkan PKPD di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Johor Bahru yang bermula 3 Nov lepas.

"KKM telah melaksanakan sebanyak 1,291 saringan dan secara kumulatif merekodkan 33 kes positif dengan kes terakhir dilaporkan pada 10 Nov lepas. Sehingga 14 Nov, KKM memaklumkan kesemua keputusan sampel saringan diperoleh dan bilangan kes adalah terkawal,” katanya.

Turut diumumkan tamat adalah PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu, Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh Kampung Matambai di Sabah.

"KKM telah melaksanakan 1,824 saringan di PTS Kota Kinabalu dan merekodkan 425 kes positif COVID-19 manakala 3,970 saringan di Penjara Kepayan dan merekodkan 1,857 kes positif COVID-19,” katanya.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata sehingga 14 Nov, bilangan kes di lokaliti itu terkawal dengan hanya 25 kes aktif di PTS Kota Kinabalu dan satu kes aktif di Penjara Kepayan dengan kesemuanya telah menerima rawatan.

Beliau berkata kesemua penduduk di kedua-dua lokaliti tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan ketika ini.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata seramai 463 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam, dan daripada jumlah itu, 427 individu dikompaun manakala 36 direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi penjarakan fizikal (173), tidak memakai pelitup muka (67), aktiviti perjudian (51), rentas daerah atau negeri PKPB tanpa kebenaran (50), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (31) dan aktiviti di pusat hiburan (29).

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan