Ahad, 25 Oktober 2020
AM
18/10/2020 10:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt  -- Seorang lelaki berpangkat Datuk ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman untuk menyelesaikan pinjaman along, Jumaat lepas. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berusia 43 tahun itu  ditahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira 11.15 pagi, susulan penahanan seorang lelaki yang disyaki along berusia 36 tahun pada 12 Okt lepas di Cheras. 

 Katanya kedua-dua tangkapan dibuat berikutan laporan daripada seorang peniaga lelaki berusia 40 tahun pada 4 Okt lalu. 

“Pada tahun 2017, mangsa (peniaga) membuat pinjaman dengan along sebanyak RM200,000 sebagai pusingan modal perniagaan dan telah membuat bayaran bulanan tanpa gagal sebanyak RM1,500 sebulan. Pada Mac 2020 mangsa tidak mampu membuat bayaran kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semenjak itu, mangsa sering diganggu dan diugut along sehingga mendatangkan ketakutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, peniaga itu telah berkenalan dengan lelaki berpangkat Datuk tersebut yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa dengan menghubungi seorang lelaki tempatan yang dipercayai along yang memberikan pinjaman terbabit.

“Suspek telah berbincang dengan along itu kononnya suspek akan menyelesaikan hutang mangsa. Suspek telah menghubungi peniaga itu memberitahu bahawa segala urusan pembayaran hutangnya mestilah melaluinya. Mangsa menyerahkan wang sebanyak RM60,000 kepada suspek untuk melangsaikan hutangnya,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa telah menerima panggilan mengatakan hutangnya dengan along masih belum selesai, sebelum membuat laporan polis.

Siasatan mendapati suspek yang bergelar Datuk itu mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes tipu di Selangor dan Kuala Lumpur serta memiliki syarikat keselamatan. 

Seorang lagi suspek disyaki terlibat dengan aktiviti kongsi gelap. 

Katanya kedua-dua suspek direman masing-masing tiga dan tujuh hari serta kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan