Jumaat, 30 Oktober 2020
AM
18/10/2020 09:03 PM

ALOR SETAR, 18 Okt  -- Seorang lelaki yang berang kerana tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling ditahan selepas cuba mencederakan anggota polis menggunakan cangkul dalam insiden pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata insiden berlaku di rumah suspek ketika anggota polis cuba mendapatkan penjelasan susulan tindakannya yang sebelum itu merakam gambar petugas keselamatan menjalankan tugas di satu sekatan jalan raya di kampung itu.

"Pada kira-kira 10.40 pagi di kawasan sekatan jalan raya diadakan, suspek yang berusia 43 tahun telah merakam gambar petugas keselamatan di situ kerana marah tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPB.

"Anggota polis kemudian telah mengekori suspek sehingga ke hadapan rumahnya dan cuba mendapatkan penjelasan mengenai tindakannya mengambil gambar tersebut sebelum suspek bertindak memarahi anggota polis berkenaan.

"Suspek kemudian telah masuk ke dalam rumah dan keluar sambil mengangkat sebatang cangkul dan menuju ke arah seorang anggota polis dan cuba menghayun cangkul itu ke arah anggota tersebut tetapi tidak berjaya kerana anggota polis lain menyekatnya," demikian menurut Syed Basri dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berlaku pergelutan antara anggota polis dengan suspek sebelum dia ditahan.

Syed Basri berkata siasatan awal mendapati suspek yang bekerja kilang bertindak mengambil gambar petugas keselamatan di sekatan jalan raya itu kerana tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan keluar dari kampung tersebut.

Katanya suspek tidak tergolong sebagai individu yang mendapat kebenaran untuk keluar dari kawasan PKPB berdasarkan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan