Sabtu, 31 Oktober 2020
18/10/2020 08:07 PM

SEREMBAN, 18 Okt -- Keputusan sampel minyak daripada empat kapal berlabuh di Kuala Linggi susulan insiden tumpahan minyak yang telah mencemarkan Pantai Cermin, Batu 10, Port Dickson dijangka diketahui dalam tempoh dua bulan lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar berkata JAS sebelum ini telah mengambil 12 sampel minyak dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis dan siasatan selanjutnya.

“Kejadian dikesan pada 12 Okt lepas dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian telah diaktifkan keesokannya dengan penilaian kawasan terjejas meliputi kawasan pantai sepanjang dua kilometer dari Pantai Cermin hingga kawasan Hutan Paya Bakau Tanjung Tuan di Melaka.

“JAS dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut telah mendapatkan sampel itu bagi mencari bukti suspek insiden tumpahan minyak dan akan diketahui sedikit masa lagi, selewat-lewatnya dua bulan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga hari ini, dianggarkan 80 peratus kerja pembersihan berjaya dilakukan yang tertumpu di kawasan pantai, kawasan paya bakau dan di perairan Tanjung Tuan melibatkan kerjasama pelbagai agensi, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Norlin berkata kerja pembersihan itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuklah cuaca, keadaan pasang surut, keadaan fizikal kawasan terjejas, magnitud impak dan keberadaan baki sisa tumpahan (tompokan kecil) yang masih berada di laut.

“Kes pembuangan minyak di laut sukar dikesan memandangkan tempoh pergerakan minyak sampai ke pantai atau dikesan agensi penguatkuasaan mungkin mengambil masa dan penjenayah berkemungkinan telah bergerak atau menutup bukti kes,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, JAS akan terus berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan di laut bagi mempertingkatkan penguatkuasaan secara bersepadu dan rondaan di perairan negara selain pengendali pelabuhan, kontraktor serta syarikat perkapalan juga perlu meningkatkan pemantauan di kawasan masing-masing.

Jelasnya, JAS juga akan menambah baik Rancangan Kontigensi Kebangsaan Kawalan Tumpahan Minyak (RKKKTM) dan memperkukuh strategi kawalan tumpahan minyak bagi mengurangan impak ke atas alam sekitar, masyarakat dan semua pihak berkepentingan.

“Oleh itu, orang awam yang mempunyai maklumat kejadian tumpahan di laut untuk segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan kawalan segera sebelum minyak sampai ke pantai,” katanya.

Pada 12 Okt lepas, media melaporkan kawasan pesisiran Pantai Cermin sejauh dua kilometer didapati tercemar dengan tumpahan minyak dan insiden itu mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meninjau lokasi berkenaan pada Selasa lepas.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan