Jumaat, 23 Oktober 2020
AM
13/10/2020 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt -- Enam lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan empat kluster di Sabah, serta masing-masing satu kluster di Selangor dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang aktif di seluruh negara adalah sebanyak 70.

Empat kluster dikenal pasti di Sabah adalah Kluster Semarak, Kluster Bina, Kluster Sabindo dan Kluster Bestari, manakala Kluster Bah Kenangan dan Kluster Penjara Jawi masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang.

“Kluster Semarak dikenal pasti di daerah Tawau, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-12200) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 Okt dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 13 lagi kes positif,” katanya pada sidang media maya yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Mengulas mengenai Kluster Bina yang dikenal pasti di Beaufort, Sabah, beliau berkata kes indeks bagi kluster tersebut (kes ke-15575) dikesan positif COVID-19 hasil saringan kemasukan ke Hospital Sipitang pada 10 Okt.

Kes itu dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Sabindo di Tawau, kes indeks (kes ke-11897) dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 Okt dan dimasukkan ke Hospital Tawau, manakala saringan kontak rapat mengesan 13 lagi kes positif COVID-19.

Selain itu, beliau berkata bagi Kluster Bestari yang dikesan di Sandakan, kes indeks (kes ke-14830) dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 10 Okt dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Beliau berkata saringan kontak rapat mengenal pasti 18 lagi kes positif COVID-19 sehingga 12 tengah hari ini.

Memperincikan Kluster Bah Kenangan melibatkan daerah Hulu Langat, Dr Noor Hisham memaklumkan kes indeks kluster (kes ke-11802) dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari Kawasan Berisiko Tinggi (Sabah) pada 2 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Hasil saringan kontak rapat mengenal pasti 17 lagi kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kes sebanyak 18 bagi kluster tersebut.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Penjara Jawi di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, Dr Noor Hisham berkata tiga tahanan dikesan positif COVID-19 hasil saringan kemasukan dari Penjara Reman Timur Laut pada 11 Okt.

Ketiga-tiga tahanan itu tidak bergejala dan dimasukkan ke Pusat Rawatan Berisiko Rendah, katanya. 

Selain kluster tersebut, terdapat 21 kluster yang mencatat pertambahan kes baharu hari ini, antaranya Kluster Tembok merekodkan 76 kes, Kluster Benteng LD (23 kes), Kluster Penjara Reman (18 kes), Kluster Bah Tropicana (12 kes) dan Kluster Simera (11 kes) manakala Kluster Jalan Meru, Kluster Utama serta Kluster Kau Sing masing-masing tujuh kes.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan