Khamis, 24 September 2020
AM
16/09/2020 10:21 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 16 Sept  -- Menderma pakaian lama bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, tetapi juga boleh menjadi sumber kewangan bagi tujuan amal dan membantu golongan memerlukan.

Pengurus syarikat kitar semula tekstil ‘Life Line Clothing Malaysia’ Mohamad Zaki Suratman berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai institusi seperti masjid dan sekolah bagi menjayakan matlamat itu. 

“Sebagai contoh, menerusi  projek pengumpulan pakaian lama yang dijalankan di sebuah masjid baru-baru ini, kami berjaya mengumpul 40 tan pakaian yang menghasilkan dana sehingga RM4,000 untuk tabung masjid berkenaan,” katanya kepada Bernama. 

Mohamad Zaki berkata pakaian yang dikumpul menerusi siri jelajah di pelbagai lokasi seluruh negara pada setiap minggu itu, akan diasingkan di kilang terletak di Pelabuhan Klang mengikut keadaan pakaian berkenaan.

“Pakaian yang masih elok untuk dipakai akan didermakan kepada negara membangun, manakala yang sudah tidak dalam keadaan baik akan dibawa untuk proses kitar semula atau guna semula,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak, untuk menjadi pusat pengumpulan pakaian dan maklumat berkenaan lokasi program boleh diperoleh menerusi akaun Telegram.

“Harapan saya kepada orang ramai, fikirlah dahulu dalam membuang sebarang sampah yang akan berakhir di tapak pelupusan sampah, kerana ia mengambil masa lama untuk dilupuskan selain menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Sebaiknya, kita perlu mulakan dengan belajar untuk mengamalkan amalan kurang membeli barang. Bukan tak boleh beli baju, tapi biarlah ikut keperluan atau beli yang lebih berkualiti dan menjaga tekstil supaya boleh pakai lebih lama,” katanya.

Sementara itu, syarikat penjualan pakaian multinasional ‘H&M Group’ telah mengumpulkan hampir 1,300 tan pakaian di Malaysia sejak 2013 di kesemua kedai H&M dan Monki menerusi inisiatif kutipan pakaiannya, yang bertujuan mengurangkan jumlah pakaian tidak digunakan, dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Pengurus Kelestarian Asia Tenggara H&M Marian Dang berkata, bagi setiap kilogram pakaian yang dikutip, sebanyak EUR 0.02 (kira-kira 10 sen) didermakan kepada Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu untuk kemanusiaan kanak-kanak dan bantuan pembangunan.

“Inisiatif kutipan pakaian H&M merupakan salah satu daripada inisiatif kelestarian, di mana pelanggan boleh menyertainya ke arah masa depan fesyen yang lestari.

“Dengan rakan kongsi I:CO, kesemua pakaian dikumpulkan sama ada digunakan semula, dipakai semula atau dikitar semula, dengan tiada yang akan sampai ke tapak pelupusan sampah,” katanya.

Dang berkata, bagi menggalakkan pelanggan mereka untuk menyertai program tersebut, pelanggan akan menerima baucar potongan 15 peratus untuk setiap beg pakaian yang tidak dikehendaki, tanpa mengira jenama dan keadaan.

Beliau menambah, mereka juga mengenakan 20 sen bagi setiap beg plastik atau beg kertas yang akan didermakan kepada projek WWF-Malaysia untuk menjaga sumber air bersih dan ekosistem di Lembah Kelang, Setiu Wetlands di Terengganu dan juga di Sarawak.

“Sejak pelancaran inisiatif ‘Choose To Reuse’ di Malaysia Julai tahun lepas, rangkaian kedai H&M telah berjaya mengurangkan penggunaan lebih 1.5 juta beg plastik dan beg kertas,” katanya.

-- BERNAMA 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan