Isnin, 10 Ogos 2020
AM
01/08/2020 03:13 PM

IPOH, 1 Ogos -- Bandar Meru Raya di sini selamat dikunjungi kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah menjalankan proses sanitasi menyeluruh di semua kawasan awam serta premis berkaitan susulan kes “mak cik degil gelang pink”, kata Pengarahnya Azmi Osman.

Beliau berkata sanitasi dilakukan berdasarkan pergerakan wanita itu yang melibatkan beberapa kawasan dan premis.

"Jangan bimbang kerana tindakan telah dilaksanakan di semua kawasan yang dinyatakan bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Korban Persatuan Suri dan Anggota Bomba Wanita Perak Bersama Nation Of Woman Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba Meru Raya di sini hari ini.

Pada masa sama, sebagai langkah berjaga-jaga beliau meminta mana-mana pihak yang mengetahui tentang pergerakan wanita tersebut agar melaporkan kepada JBPM Perak. 

Pada 21 Julai lalu, foto seorang wanita yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemantauan di rumah, tular menerusi media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Foto wanita itu yang sedang makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya di sini jelas menunjukkan gelang tangan berwarna merah jambu di tangan kanannya yang menandakan dia di bawah perintah kuarantin COVID-19.

Wanita itu kini dilaporkan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Azmi berkata antara langkah awal yang akan dilaksanakan ialah khidmat nasihat mengenai keselamatan kepada pengusaha hotel dan inap desa yang dijangka menjadi tumpuan orang awam ketika PRK berkenaan.

Selain itu, JBPM Perak juga akan melaksanakan proses sanitasi di kawasan penginapan dan lokasi tumpuan seperti kedai makan bagi mengekang jangkitan COVID-19, dan kesemua langkah terbabit akan dilaksanakan selewat-lewatnya minggu depan, katanya. 

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh pengundian manakala 15 Ogos bagi penamaan calon dan 25 Ogos untuk pengundian awal.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan