Selasa, 04 Ogos 2020
01/08/2020 11:24 AM

JAKARTA, 1 Ogos (Bernama) -- Penjenayah rasuah paling dikehendaki di Indonesia, Djoko Soegiarto Tjandra, yang 11 tahun melarikan diri, akhirnya ditahan di Malaysia dan dibawa pulang ke Jakarta pada Khamis lepas.

Menurut media Indonesia, penangkapan Djoko, 68, itu adalah menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang membantu mengesan suspek pada petang 30 Julai dan dibawa pulang pada malam hari menjelang sambutan Aidiladha.

Tiada butiran terperinci berkenaan tempat tangkapan itu dilakukan.

"Kami berjaya menangkapnya pada hari Khamis petang,” kata Ketua Agensi Siasatan Jenayah Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo, seperti dipetik media tempatan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perdana Halim Kesuma di Jakarta bersama suspek pukul 10.39 malam waktu Indonesia Barat.

Listyo Sigit turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada PDRM yang bekerjasama membantu menahan Djoko.

Djoko dibawa pulang dengan pesawat khas disewa polis Indonesia, yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Djoko pertama kali ditangkap pada September 1999 kerana terlibat dalam kes rasuah Bank Bali yang berprofil tinggi.

Bagaimanapun beliau dibebaskan oleh Pengadilan atau Mahkamah Negeri Jakarta Selatan pada 2000.

Kesnya kemudian dibawa ke Mahkamah Agung dan beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda Rp546 miliar (USD54 juta).

Namun, Djoko melarikan diri ke Papua New Guinea sehari sebelum keputusan mahkamah dan sejak itu dilaporkan telah menetap di beberapa negara termasuk Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan