Khamis, 06 Ogos 2020
AM
31/07/2020 11:55 PM

Oleh Johary Indan

TAMPARULI, 31 Julai -- Biarpun hampir enam dekad berlalu, setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Antakin Andau, 83, akan terkenangkan pengalaman pahit dan manis sewaktu berkhidmat dalam Batalion Pasukan Dua Renjer, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tatkala ditugaskan mempertahankan kedaulatan negara.

Masih segar dalam ingatan Antakin, pesara tentera berpangkat sarjan ini, betapa mencabarnya tanggungjawab yang dipikul sebagai tentera dalam memastikan negara berdaulat ini bebas dan selamat daripada sebarang ancaman komunis dan anasir jahat ketika itu.

Sepanjang berkhidmat dalam ATM dari 1964 hingga 1978, Antakin, etnik Dusun Lotud dari Kampung Bantayan, Tamparuli, ditugaskan hampir ke semua negeri di Semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak.

"Walaupun saya menyertai ATM hanya selepas tujuh tahun Malaysia merdeka, namun ketika itu negara belum benar-benar bebas daripada ancaman subversif terutama komunis, menyebabkan tentera terpaksa mengharungi cabaran besar,” katanya kepada Bernama, menceritakan pengalaman 15 tahun bersama ATM, di Kampung Bantayan, di sini baru-baru ini.

Mengimbau penglibatannya dalam ATM pada 1964, Antakin yang ketika itu berusia 27 tahun dan hanya mempunyai kelulsusan dari Government Primary School (GPS) Tuaran, bersyukur kerana diterima masuk dalam pasukan ATM, sebelum dihantar bagi mengikuti latihan ketenteraan selama enam bulan ke Kedah, pada 21 Feb 1964.

Menurut Antakin, peristiwa yang sukar dilupakan selama berkhidmat dalam ATM ialah peristiwa peletakan senjata Pemberontakan Brunei pimpinan AM Azahari pada 1962 dan ketika itu, pasukan Dua Renjer telah ditugaskan di Pulau Sebatik, Tawau selama enam bulan.

"Ketika peristiwa itu, pasukan dua renjer yang sebelum ini bertugas di Grik, Perak diberikan tugas khas menjaga keselamatan Pulau Sebatik dan pulau sekitarnya daripada ancaman kumpulan Pemberontakan Brunei.

"Peletakan senjata pemberontakan Brunei itu melonjakkan nama Batalion Dua Renjer sebagai pasukan yang berjaya menangani pemberontakan itu dengan berkesan," katanya.

Menceritakan lanjut mengenai peristiwa sejarah Pemberontakan Brunei, Antakin berkata, ia berlaku pada 8 Dis 1962, dengan pemberontak menyelaras serangan ke atas bandar minyak, Seria dan menyasarkan kemudahan minyak milik Royal Dutch Shell, stesen polis dan bangunan kerajaan.

"Pemberontak itu menentang Sultan Brunei, kerajaan baginda dan rakyat yang setia. Kejadian itu dianggap sebagai tahap pertama dalam konfrontasi Indonesia-Malaysia," katanya.

Beliau berkata, ketika itu, bahagian utara Pulau Borneo terdiri tiga wilayah Britain iaitu Sarawak dan Borneo Utara (dinamakan semula sebagai Sabah) dan Kesultanan Brunei.

Antakin berkata selepas tamat tempoh tugasan enam bulan di Pulau Sebatik, pasukan dua renjer ditugaskan pula di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu pada 1969 hingga 1972, sebelum pasukan itu kembali semula ke Semenanjung pada 1973.

"Sepanjang tempoh 15 tahun berkhidmat dengan ATM, saya terpaksa berjauhan dengan keluarga yang ditinggalkan di kampung Bentayan, Tamparuli, Sabah dan hanya dapat bertemu dengan mereka ketika mendapat cuti," katanya.

Beliau yang berkahwin dengan Dingku Insui, 73, pada 1962 dikurniakan tiga anak, masing-masing dua perempuan dan seorang lelaki, selain mempunyai 15 cucu dan tiga cicit.

Selepas bersara pada 1986,  Antakin dipilih sebagai Ketua Kampung Bantayan dan berkhidmat hingga kini.

"Setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan, saya akan teringatkan sewaktu berkhidmat sebagai tentera dalam ATM yang memerlukan pengorbanan besar," katanya.

Bagi Antakin, sambutan Hari Kebangsaan seharusnya menjadi sambutan utama rakyat Malaysia dan semua lapisan masyarakat wajar diberi kesedaran mengenai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedualatan negara.

“Rakyat tidak akan merasai nikmati seperti yang wujud pada hari ini, sedangkan semua itu tidak diperoleh secara mudah tanpa pengorbanan, perjuangan dan pertumpahan darah demi mencapai kemerdekaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan