Rabu, 27 Mei 2020
AM
23/05/2020 07:15 PM

PUTRAJAYA, 23 Mei -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baru membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih, Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperincikan kluster baharu itu beliau berkata, sehingga  kini, sebanyak 1, 752 sampel telah diambil, melibatkan 1,631 orang kena tahan dan 121 orang petugas depot tahanan.

“Daripada jumlah itu, 21 disahkan positif COVID-19, manakala selebihnya masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, punca jangkitan kluster baharu itu masih dalam siasatan.

Katanya, keadaan di lokasi adalah terkawal dan aktiviti saringan dilakukan kepada semua kakitangan dan juga orang kena tahan, seperti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kita laksanakan seolah-olah PKPD di kawasan tersebut...tapi kita tak gunakan PKPD, sebab dah terkawal pun di kawasan tersebut. Contohnya di DTI di Bukit Jalil kita dah laksanakan semua saringan, hari ini tak ada pertambahan dah,” katanya.

Untuk rekod, DTI Semenyih merupakan kluster kedua melibatkan depot tahanan warga asing yang dikesan terdapat penularan COVID-19, selepas DTI Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau berkata kawasan penjara juga merupakan salah satu tempat berisiko, sekiranya membabitkan perhimpunan di ruang yang sempit.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM telah melakukan saringan di 272 pusat jagaan warga emas setakat hari ini.

“Daripada 23 kes didapati positif wabak itu, 13 orang adalah melibatkan warga emas dan 10 orang petugas di situ,” katanya.

Ditanya mengenai punca jangkitan itu, beliau berkata kemungkinan mereka yang bekerja di hospital yang ke pusat jagaan tersebut, membawa jangkitan itu.

Beliau sebelum ini berkata, dua kelompok umur warga emas dikesan berdepan risiko kematian tertinggi sekiranya dijangkiti wabak COVID-19 iaitu warga emas berusia antara 55 hingga 59 tahun, dan 60 hingga 64 tahun.

-- BERNAMA

 

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan