Rabu, 27 Mei 2020
AM
23/05/2020 06:27 PM

PUTRAJAYA, 23 Mei -- Kesalinghubungan digital adalah satu aspek yang penting dalam kehidupan seharian rakyat, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berhadapan ancaman wabak COVID-19. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesalinghubungan digital yang baik dan menyeluruh, bukan sahaja memudahkan rakyat melakukan aktiviti seharian, bahkan membantu menggerakkan semula ekonomi negara.

“Semalam (22 Mei) saya telah mengadakan mesyuarat dengan wakil-wakil dari pelbagai kementerian dan agensi, antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berhubung kesalinghubungan digital,” katanya lagi.

Tambah Saifuddin, mesyuarat tersebut bertujuan untuk mencari jalan terbaik supaya infrastruktur digital negara dapat ditambah baik dari segi liputan, kualiti, dan tahap kemampuan.

Ini bagi membantu rakyat, para peniaga dan semua yang terbabit, supaya dapat terus menjalankan kehidupan dan perniagaan dengan lebih baik, lanjutan daripada langkah-langkah pencegahan dan wabak COVID-19, katanya lagi. 

Katanya, penambahbaikan infrastruktur digital juga, dapat membantu ekonomi negara kerana ia akan melibatkan pelbagai pelaburan, selain memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Perlu juga penekanan kepada sektor pendidikan, di mana terdapat keperluan kepada pelajar dan mahasiswa untuk meneruskan pengajian mereka di luar ruang persekolahan atau kampus mereka,” kata Saifuddin lagi. 

Dalam perkara ini, tambah beliau, akses kepada perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti dan mampu milik adalah amat penting, jelasnya. 

Tambah Saifuddin, pendigitalan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS)  juga adalah penting memandangkan sektor ini mewujudkan peluang pekerjaan dan penyumbang utama ekonomi negara.

“Usaha-usaha dalam e-dagang juga perlu dipertingkatkan supaya semua golongan masyarakat dapat mengambil peluang dan pasaran baharu yang terbuka luas dalam ekonomi digital ini, terutama setelah wabak COVID-19 melanda,” katanya. 

Beliau berkata antara faktor pendorong kejayaan ekonomi digital  adalah aspek perlindungan pengguna. 

Oleh itu isu-isu yang telah dibangkitkan oleh para pengguna seperti isu bil, liputan dan sebagainya perlu diambil serius, kata Saifuddin. 

Beliau berkata mesyuarat yang diadakan semalam juga bersetuju supaya satu pendekatan yang menyeluruh perlu diambil oleh para pengendali perkhidmatan bagi memastikan hak pengguna sentiasa terbela.

Tambah beliau, mesyuarat tersebut turut bersetuju kerjasama pelbagai pihak termasuk  pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri selain agensi-agensi lain  membantu memudahcara pembinaan infrastruktur digital. 

“Saya menyambut baik saranan dan cadangan yang telah dibangkitkan di dalam mesyuarat tersebut dan akan memastikan perkara-perkara tersebut dapat diselesaikan melalui persefahaman bersama di pelbagai platform,” katanya lagi. 

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan