Isnin, 25 Mei 2020
AM
23/05/2020 05:14 PM

KOTA KINABALU, 23 Mei -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta penduduk negeri ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara sepanjang sambutan Aidilfitri bagi memastikan diri dan keluarga masing-masing terhindar daripada jangkitan COVID-19.

Beliau berkata SOP ditetapkan kerajaan bukanlah bertujuan menyekat atau tidak memberi kebebasan kepada semua masyarakat apatah lagi sewaktu musim perayaan, namun menyedari ancaman wabak ketika ini, maka langkah pencegahan perlu diambil untuk keselamatan dan kesihatan bersama. 

“Antara langkah diambil ketika musim perayaan termasuk mengehadkan bilangan ahli keluarga dalam sebuah rumah, larangan kunjung-mengunjung dan balik kampung. Ini adalah sebagai langkah keselamatan bagi mengelak wabak ini daripada terus berjangkit. 

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sama ada di pihak kerajaan mahupun rakyat untuk memainkan peranan masing-masing bagi bersama-sama mengawal penularan COVID-19,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2020 di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata sambutan Hari Raya pada tahun ini agak berbeza susulan ia diraikan dalam keadaan negara berhadapan pandemik, dan wabak ini bukan hanya melumpuhkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga menjejaskan kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah menyokong segala usaha kerajaan dalam membendung wabak ini daripada terus merebak.

“Saya juga ingin memohon kemaafan sekiranya langkah-langkah yang kita laksanakan telah sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan rakyat di Sabah. Semua ini dilakukan dengan niat dan tujuan baik (iaitu) bagi menghindari COVID-19 sekali gus menyelamatkan nyawa manusia di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan