Sabtu, 30 Mei 2020
AM
23/05/2020 12:47 PM

ALOR GAJAH, 23 Mei -- Menjangkakan pendatang asing tanpa izin (Pati) akan cuba menyeludup masuk semula ke negara ini melalui “jalan tikus” di Selat Melaka selepas sambutan Aidilfitri, Op Benteng bagi mencegah perkara itu akan dipertingkat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Madya Maritim Datuk Ibrahim Mohamed berkata pendatang asing tanpa izin mungkin akan cuba masuk semula ke negara ini untuk bekerja selepas pulang beraya.

“Ini memandangkan kegiatan industri telah beroperasi semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan lebih membimbangkan apabila pendatang asing tanpa izin yang berjaya bolos ke negara ini akan mengimport virus COVID-19.

“Justeru itu, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkat menerusi Op Benteng ketika perayaan Aidilfitri terutama di lokasi titik panas pendaratan iaitu di Selat Melaka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Benteng di Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di sini, malam tadi. 

Terdahulu, beliau melawat KD Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berperanan sebagai kapal induk dalam Op Benteng. Hadir sama Laksamana Pertama TLDM Ruzelme Ahmad Fahmy dan Pengarah Bahagian Operasi dan Strategik TLDM Kept Rosli Abd Ghani.

Op Benteng diaktifkan di bawah National Task Force yang diterajui oleh ATM, PDRM dan Maritim Malaysia untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Ibrahim berkata tumpuan utama dalam operasi bersepadu itu adalah mengesan dan menahan tekong laut dan darat yang memainkan peranan dalam mengaturkan perjalanan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin ke negara ini. 

Di  KUALA TERENGGANU, Pengarah Maritim Negeri Terengganu  Kept Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli  berkata rondaan pengawasan di perairan negeri itu akan dipergiat bagi mencegah bot nelayan asing menceroboh perairan negara ketika musim perayaan Aidilfitri.

“Sebanyak empat buah kapal dan lima buah bot  akan digerakkan untuk melaksanakan rondaan di perairan Terengganu secara bergilir-gilir, kita juga menerima bantuan daripada Maritim Johor dengan meletakkan kapal KM Tegas di perairan Terengganu ketika musim perayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi juga berkata pihaknya berjaya mengusir keluar kira-kira 60 bot nelayan asing Vietnam dari perairan sempadan Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac melalui Operasi COVID-19 Khas Laut.

Beliau juga meminta komuniti maritim terus menyalurkan maklumat dan aduan mengenai pencerobohan nelayan asing ke talian  MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

-- BERNAMA

 

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan