Rabu, 27 Mei 2020
AM
22/05/2020 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang maut akibat dilanggar seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol, dinaikkan pangkat Sarjan secara ‘posthumous’ atau anumerta berkuat kuasa 3 Mei lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang bersidang semalam, bersetuju memberikan kenaikan pangkat berkenaan.

Beliau berkata ia sebagai mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanan beliau yang memberi sepenuh komitmen sebagai anggota barisan hadapan dalam tugasan Op COVID-19.

"Saya sebagai Menteri Dalam Negeri, sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan komited untuk menegakkan keadilan terhadap Allahyarham Safwan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Hamzah, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada pasukan PDRM.

Beliau berkata berdasarkan rekod, Allahyarham Safwan mula menyertai PDRM pada 1 Mei 2009 dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Kontinjen Selangor.

Dalam kejadian 3 Mei lepas, Allahyarham Safwan yang bertugas di sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu laju oleh seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Dalam kejadian 2.10 pagi itu,  Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Pada 13 Mei lepas, pemandu terbabit K. Kalaichelvan, 44, seorang ahli perniagaan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kajang.

Bagaimanapun, Kalaichelvan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan membawa kenderaan tanpa lesen memandu. 

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan