Rabu, 27 Mei 2020
AM
22/05/2020 05:22 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei -- Sebanyak 78 kes baharu positif COVID-19 direkod hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 7,137 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,163 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 78 kes baharu yang dilaporkan, 25 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 53 kes adalah penularan tempatan.

“Daripada 53 kes penularan tempatan itu, 40 kes adalah bukan warga Malaysia dengan 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur,”  katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat 63 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad adalah  5,859 kes (82.1 peratus).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat satu lagi kes kematian dicatat menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 115 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-115 itu merupakan lelaki warga tempatan berumur 65 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 3 April lepas dan disahkan meninggal dunia pada 21 Mei pada pukul 2.58 petang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mempunyai sikap bertanggungjawab semasa menjalankan sebarang aktiviti di luar mahupun dalam rumah, termasuk dalam persiapan sambutan hari raya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

-- BERNAMA

 

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan