Selasa, 07 April 2020
AM
27/03/2020 08:34 AM

Oleh Siti Fauziah Hasan dan Aisha Han Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Langkah Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang beralih kepada pembelajaran dan pengajaran (PdP) dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ancaman COVID-19 pada awalnya disambut baik warga kampus.

Namun kini ada yang mendakwa pendekatan itu tidak realistik kerana keputusan dibuat tanpa mengambil kira pelbagai faktor khasnya ketersampaian capaian internet kepada pelajar yang boleh memberi kesan kepada kualiti pembelajaran.

Pada Rabu, penuntut sebuah universiti awam, Al Uzair Ahmad Zahari telah melancarkan petisyen di change.org bertajuk ‘Extension of study for all Higher Education Institution (HEI/IPT) in Malaysia’ (Pelanjutan tempoh pengajian bagi semua Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia).

Menurut beliau, pusat pengajian gagal mengambil langkah yang realistik memandangkan sebahagian pelajar tidak dapat mengikuti PdP dalam talian kerana terdapat kekangan seperti akses komunikasi dan sumber. 

Mengulas perkara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar ketika dihubungi Bernama berkata sebilangan pelajar berkemungkinan tidak mendapat akses internet dengan baik dan ia menyukarkan mereka mendapatkan input pembelajaran.

“Dalam keadaan penularan COVID-19 ini, kita tidak mahu menyukarkan lagi keadaan, kita juga tidak mahu mereka terpaksa bergerak keluar dari kediaman untuk mendapatkan bahan. Oleh itu, bagi pelajar yang mendapat capaian internet dengan baik, mereka boleh berkongsi bahan pembelajaran dengan rakan misalnya melalui aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Niat pihak universiti adalah tidak mahu pelajar tiada pengisian sewaktu tempoh penangguhan kelas jadi PdP secara dalam talian adalah satu cara untuk membantu mereka tetapi universiti juga perlu pertimbangkan beberapa faktor antaranya capaian kepada internet dan beban kewangan untuk membeli pakej internet,” katanya.

Justeru, beliau berkata pihak pengurusan IPT wajar mempertimbang untuk menangguhkan atau melanjutkan semester semasa sepertimana yang dicadangkan beberapa pelajar supaya mahasiswa mendapat PdP yang sama serta kualiti pembelajaran yang sepatutnya diterima tidak ‘dikorbankan’ memandangkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April.

“Oleh itu, dalam keadaan sekarang, mungkin PdP dalam kelas seperti biasa boleh dilanjutkan kepada bulan Julai atau Ogos yang mana ia sepatutnya waktu cuti akhir semester bagi pelajar, mungkin ia dapat ‘cover’ semula dan saya rasa ia adalah satu alternatif baik,” katanya.

Senada dengan Wan Marzuki,  Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat tidak menjadi masalah jika PdP ditangguhkan buat sementara waktu.

"Saya rasa kalau ditangguhkan sekejap atau dilanjutkan semester, ia tidak menjadi masalah dan adalah idea baik untuk bantu pelajar,” katanya.

Mengenai PdP dalam talian, beliau berkata kemahiran tenaga pengajar di negara ini perlu ditingkatkan di samping memberi orientasi dan pemahaman yang berterusan kepada pelajar untuk menyesuaikan diri mereka dengan kaedah itu.

Beliau berkata PdP dalam talian merupakan satu kaedah pembelajaran yang kini dilaksanakan di banyak universiti di dunia lebih-lebih lagi dengan pengehadan pergerakan akibat penularan COVID-19, dan keberkesanannya sangat bergantung kepada guru yang mengajar.

“Selama ini kita fikir ia tidak praktikal dan dengan itu ia dianggap tidak sesuai sehingga banyak universiti yang menawarkan program dalam talian tidak diiktiraf, tetapi sekarang telah berubah dan negara seperti Arab Saudi yang dahulu tidak mahu mengiktiraf PdP dalam talian kini menggunakan kaedah itu,” katanya.

Pada 20 Mac lepas, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan semua IPT melaksanakan PdP secara dalam talian dengan syarat, semua pelajar secara keseluruhannya mendapat akses, pensyarah dan infrastruktur telah sedia sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan