Selasa, 07 April 2020
AM
26/03/2020 06:43 PM

ISKANDAR PUTERI, 26 Mac -- Seramai 36 jemaah tabligh Malaysia yang menghadiri Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia, disahkan pulang secara berperingkat menerusi dua terminal feri antarabangsa di Johor sejak 23 Mac.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka pulang menerusi Terminal Feri Antarabangsa Stulang dekat Johor Bahru dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di sini.

Beliau berkata kesemua individu berkenaan pulang menerusi negeri ini pada 23 Mac, 24 Mac dan hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke pusat kuarantin di negeri masing-masing.

"Kita jangka ada 30 lagi individu daripada jemaah tabligh yang akan balik ke Malaysia (menerusi Johor dan menggunakan feri). (Kita juga akan pastikan) mereka ini akan melalui saringan oleh KKM dan dikuarantin selama 14 hari.

“Mereka hanya ada dua pilihan untuk pulang, sama ada menerusi Stulang ataupun Puteri Harbour, tidak ada laluan lain (menerusi Johor),” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ketibaan lapan jemaah tabligh berkenaan di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KKM dilapor menganggarkan 80 hingga 100 rakyat Malaysia ke Sulawesi bagi menghadiri perhimpunan berkenaan.

Bagaimanapun, penganjur dilapor membatalkan perhimpunan yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 22 Mac itu, berikutan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Ayob Khan berkata hanya tinggal 12 individu di negeri ini yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur baru-baru ini, dikenal pasti masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan.

Untuk rekod, beliau berkata terdapat seramai 1,716 individu di negeri ini menghadiri perhimpunan berkenaan dan daripada jumlah itu, 1,704 daripadanya sudah menjalani pemeriksaan.

Terdahulu, Ayob Khan yang turut membuat tinjauan di Pasar Borong Pandan pagi tadi, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan orang ramai yang masih ingkar dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tiada lagi amaran. Selepas ini kita akan pastikan siapa yang ingkar, kita akan tangkap. Jika sekatan jalan raya kita dapati lebih daripada dua orang (di dalam satu kenderaan), kita akan suruh mereka patah balik," katanya.

Setakat ini, katanya polis sudah membuka 32 kertas siasatan dan tiga kes pelanggaran PKP ditangkap semalam bakal dituduh di mahkamah.

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan