Selasa, 07 April 2020
AM
26/03/2020 05:10 PM

JAKARTA, 26 Mac -- Pemakaman jenazah ibu kepada Presiden Indonesia, berlangsung penuh duka, ketika dunia dan Indonesia menghadapi pandemik  virus COVID-19, yang kini membataskan sebarang perhimpunan atau majlis yang dihadiri ramai orang, bagi mengekang penularan virus itu.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) memohon rakyat Indonesia memanjatkan doa mereka dari rumah, sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham ibunya Sudjiatmi Notomihardjo, yang disemadikan di Pemakaman Keluarga Mundu, di Surakarta, Jawa Tengah, kira-kira 1.30 petang waktu Indonesia barat.

Rakyat Indonesia, tokoh tokoh pemimpin, tokoh korporat dan semua lapisan masyarakat menjadikan platform media sosial bagi menzahirkan ucapan takziah mereka, atas kehilangan besar Presiden Indonesia itu.

Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia Mahfud MD dalam satu kenyataan berkata, Jokowi telah meminta barisan menteri kabinetnya agar tidak menghadiri upacara pengkebumian itu, dan meminta masyarakat turut tidak berbuat demikian.

Twitter rasmi Presiden Indonesia @jokowi, turut dibanjiri ucapan takziah daripada netizen, dalam ciapan berkenaan pemergian ibunya sejak semalam.

Jenazah ibu Jokowi disolatkan di Masjid Baitul Rahman, yang terletak berdekatan rumah Allahyarham, sebelum dibawa ke tempat pengkebumian, yang terletak kira-kira 8 kilometer.

Majlis pengkebumian itu juga dihadkan jumlah kehadiran yang dihadiri Jokowi, keluarga terdekat dan petugas protokol dan keselamatan, dengan semua mereka disembur pembasmi kuman dan memakai penutup mulut dan hidung, selain mengikuti langkah-langkah tertentu seperti jarakan sosial.

Allahyarham meninggal dunia di Rumah Sakit (hospital) Slamet Riyad, Surakarta pada usia 77 tahun, jam 4.45 petang semalam waktu Indonesia Barat, akibat kanser yang dideritainya sejak empat tahun lepas.

Pemerintah Indonesia telah melaksanakan beberapa langkah membataskan dan kawalan pergerakan, antaranya melarang perhimpunan berskala besar, menutup sesi persekolahan, tempat-tempat ibadat, pusat hiburan, menekankan aspek jarakan sosial dan pelaksanaan sepenuhnya konsep bekerja dari rumah di sektor-sektor yang tidak kritikal, bagi membendung penularan COVID-19, yang sehingga semalam telah mengorbankan 58 nyawa.

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan