AM

NEUROGINE, UMSKL BEKERJASAMA BIMBING TENAGA KERJA PERKHIDMATAN KEWANGAN

27/02/2020 03:58 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 27 Feb  -- Penyedia platform dagangan pelaburan dan perbankan mudah alih berpangkalan di Malaysia Neurogine Group mengumumkan kerjasamanya dengan Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah (UMSKAL) untuk membimbing dan melatih tenaga kerja serta menyediakan penyelesaian baharu bagi pasaran kewangan.

“Kami perlu menginstitusikan melatih kemahiran dan kebolehan yang sesuai bagi memperkasakan masyarakat, mempermudahkan perdagangan dan meningkatkan perdagangan yang mampan, dan kami lihat ini ada dalam ekosistem UMS Labuan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Group Owen Chen Chee Onn pada majlis permeteraian Surat Hasrat (LoI), di sini, hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu seiring dengan strategi pengembangan kumpulan ke pasaran pertumbuhan utama di Asia terutamanya di Indonesia, Jepun dan China, dengan pasaran di Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan Thailand sedang dalam perancangan.

Chen berkata kerjasama ini juga akan membantu merealisasikan hasrat Neurogine Group untuk ‘menghubungkan’ Asia dengan penyelesaian mudah alih, perbankan, pembayaran dan pelaburan.

“Ideanya sesuai, modelnya menarik dan pasaran kewangan bersedia menerima kaedah lebih baharu dan lebih cekap bagi pulangan yang lebih baik, dan semua petanda menunjukkan Asia mengambil bahagian yang lebih aktif dalam bidang ini,” katanya. 

Beliau berkata Neurogine Group, menerusi anak syarikatnya yang berpangkalan di Labuan Neurogine DX (L) Ltd, telah menyelesaikan pembangunan enjin penghalaan pintarnya, nDAex, yang boleh digunakan bagi dagangan pelaburan dan simpanan pelaburan, antara lainnya. 

Satu lagi anak syarikatnya yang berpangkalan di Labuan, Neurogine Capital (L) Ltd, memperkenalkan perkhidmatan platform dagangan pelaburan bagi Asia Tenggara pada 20 Feb, yang diperkasakan oleh  nDAex.

Perkhidmatan ini, yang dinamakan nTrade, mengakses beberapa Digital Asset Exchanges seperti Binance, Liquid dan Kraken, menerima mata wang fiat seperti USD, EUR, RMB, SGD dan mata wang kripto seperti BTC, ETH, LTC, USDT kepada lebih 51,000 pasangan, yang terbesar seumpamanya di rantau ini. 

Neurogine Capital dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Kewangan Labuan untuk mengoperasikan aktiviti pembrokeran wang.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan