AM

PIHAK BERKEPENTINGAN DINASIHAT MAIN PERANAN POSITIF PASTIKAN KEJAYAAN DASAR KEMAKMURAN BERSAMA

18/09/2019 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pihak berkepentingan telah dinasihatkan untuk menyokong dan memainkan peranan positif untuk memastikan kejayaan dasar kemakmuran bersama yang diperkenalkan kerajaan, kata Penaung Persidangan Pembuatan Pintar Antarabangsa 2019 (ISMC 2019), Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Katanya rakyat Malaysia tidak sepatutnya hanya bergantung kepada kerajaan dan sektor swasta untuk kejayaan mereka.

"Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah untuk mendapatkan sektor swasta, kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat, persatuan perdagangan dan industri, untuk memainkan peranan positif bersama.

"Kami sudah mempunyai tindakan afirmatif sebelum ini dalam bentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kami tahu kelemahannya, masalah dalam pelaksanaannya dan lain-lain. Hasil yang tidak diinginkan daripada dasar-dasar sebelumnya menunjukkan jurang semakin besar untuk bandar, luar bandar, kumpulan etnik dan golongan B40," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman, yang juga pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) berkata Malaysia perlu melihat negara-negara lain,  yang pembangunan ekonominya adalah serupa.

"Bagi Malaysia, kita perlu melihat negara-negara lain, tahap pembangunan ekonomi mereka lebih menyerupai kita dan kita cuba meniru dan mendapatkan yang terbaik. Seterusnya, kita menyesuaikannya dengan keadaan tempatan," katanya.

Jika tidak, beliau berkata, ia akan menjadi sangat sukar untuk melaksanakan sesuatu tanpa model tertentu untuk diikuti.

"Ini adalah satu tugas yang sangat mencabar, bagi pembuat dasar kerajaan dan juga para pemain industri untuk mengagihkan kekayaan dan kemakmuran dalam kalangan semua kumpulan sasar. Kita perlu menyokong idea kemakmuran bersama ini, jika tidak, maka akan wujud ketidakstabilan.

"Kita perlu memastikan semua orang menikmati tahap pertumbuhan, pendapatan, kualiti hidup atau kita akan terperangkap di peringkat berpendapatan rendah selamanya," katanya.

Acara tiga hari bermula hari ini itu dianjurkan bersama oleh Lean Smart Solutions Industri PLT dan MyRAS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan