AM

PERTANDINGAN MTDC-UITM MAKER TALENT MAMPU SEDIA GENERASI MUDA HADAPI IR4.0

03/08/2019 07:46 PM

SHAH ALAM, 3 Ogos (Bernama) -- Pertandingan MTDC-UiTM Maker Talent 2019 dilihat mampu menyediakan generasi muda bagi menghadapi revolusi industri 4.0 selain melahirkan rasa minat untuk  menceburi bidang keusahawanan teknologi.

Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus berkata pertandingan itu dianjurkan dengan bertujuan untuk memupuk sifat kreatif dan inovatif  pelajar sekolah rendah dan menengah di dalam bidang kejuruteraan, robotik dan elektronik.

“Melalui pertandingan ini, pelajar-pelajar sekolah dengan bimbingan seorang pelajar jurusan kejuruteraan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpeluang untuk mereka cipta projek.

“Melalui gabungan ini pelajar UiTM yang menjadi mentor tadi juga akan dapat belajar kemahiran berfikir dengan kreatif, kemahiran memimpin kumpulan, serta kemahiran komunikasi; dan kemahiran seperti ini adalah penting untuk memupuk sifat teknopreneur di dalam para pelajar kita.

“Selain itu saya juga percaya dengan pendedahan seperti ini ia akan dapat membentuk graduan yang holistik, kreatif  dan bersifat keusahawanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertandingan berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof Madya Dr Wan Zuhainis Saad dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Ir Dr  Mohd Azraai Kassim.

Norhalim berkata beliau berbangga kerana jumlah penyertaan ke pertandingan itu cukup memberangsangkan, baik dari sekolah di bandar mahupun luar bandar.

Sebanyak 200 kumpulan dari 70 sekolah rendah dan menengah dari seluruh Selangor menyertai pertandingan berkenaan.

Dalam pertandingan kumpulan Azfar dari Sekolah Menengah Kebangsaan USJ13 muncul pemenang bagi Anugerah Berlian.

Sementara itu Mohd Azraai dalam sidang akhbar yang sama berkata UiTM akan terus menyokong MTDC dalam penganjuran pertandingan berkenaan.

“UiTM mempunyai lima kampus lain di luar Selangor yang mempunyai fakuti kejuruteraan, jika MTDC berniat untuk meluaskan pertandingan ini ke negeri-negeri yang lain, UiTM bersedia membantu dan membenarkan pelajar kejuruteraan kami untuk menjadi mentor,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan